17 September 2021, 07:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bulan kebangsaan saban tahun dirai oleh segenap rakyat Malaysia walau di mana-mana jua mereka berada. Namun begitu, sejauh manakah penghayatan erti sebenar semangat patriotik terhadap bulan kebangsaan ini?

Yayasan Warisan Johor (YWJ) mengambil inisiatif untuk membangkitkan penghayatan rakyat terhadap perjuangan mencapai kemerdekaan Malaysia melalui penganjuran program Bicara Patriotisme dengan tajuk “Sumbangan Johor dalam Penubuhan Malaysia”.

Program berkonsepkan bual bicara ini dikendalikan oleh Dr. Maskiah Haji Masron selaku moderator bersama-sama dua orang panel, iaitu Profesor Dr. Kassim Thukiman dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Tuan Haji Amad Bahri Mardi, Pengetua SMK Seri Aman, Kota Tinggi. Program yang diadakan secara langsung di media sosial YWJ ini bertujuan untuk menyemarakkan lagi rasa cinta akan tanah air bersempena dengan Hari Malaysia pada hari ini.

Dalam program tersebut, Profesor Dr. Kassim yang terkenal dengan kajiannya tentang sejarah negeri Johor mengatakan bahawa terdapat ramai tokoh pejuang yang menuntut kemerdekaan negara berasal dari Johor.

Dato’ Onn Jaafar merupakan antara tokoh ulung yang berjuang menentang Malayan Union pada tahun 1946. Bertitik tolak dari inilah tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang menyatukan orang-orang Melayu dalam usaha menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Menurut beliau lagi, kemajuan negeri Johor bertitik tolak daripada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor yang wujud pada 14 April 1895. Bermodelkan rang undang-undang negeri ini pejuang kemerdekaan menggubal Perlembagaan Tanah Melayu pada tahun 1956. Rang undang-undang yang lengkap ini meliputi hal ehwal sistem pemerintahan, politik, sosial, ekonomi dan budaya. Kedaulatan negeri Johor yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor dijadikan contoh untuk pembinaan negara kita, misalnya berkenaan agama Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu (bahasa Melayu-Riau) sebagai bahasa kebangsaan di negeri Johor dan Tanah Melayu (dalam Perlembagaan Malaysia).

Tuan Haji Amad Bahri pula menekankan tentang peri pentingnya tahu tentang sejarah tanah air agar generasi muda tidak hanya mengecap kemerdekaan hanya pada tarikh dan bulan kebangsaan semata-mata. Yang paling utama, bacalah buku tentang sejarah dan pilihlah buku yang betul agar maklumat yang diperoleh tepat dan sahih kerana cabaran dunia teknologi hari ini menyebabkan generasi muda lebih banyak membaca dan mendengar ceramah berbanding membaca buku tentang sejarah.

Semangat patriotik perlu disemai dalam jiwa tanpa mengira peringkat usia.

Bagaimana kita hendak menghargai erti kemerdekaan tanpa kita tahu siapakan pejuang-pejuang yang bergadai nyawa memerangi musuh dan penjajah? Penghayatan tentang erti kemerdekaan tanah air bukan sekadar sambutan di sekolah semata-mata. Penghayatan ini tanggungjawab semua warganegara Malaysia baik murid di sekolah, ibu bapa, guru, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak berautoriti perlu saling berperanan. Peristiwa-peristiwa dalam sejarah inilah yang membawa kepada di mana kita pada hari ini.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.