Oleh Aninah Janang
20 September 2021, 18:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu, Sabah – Majalah Dewan Masyarakat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendapat perhatian YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kerana majalah tersebut dilihat berupaya menyampaikan wadah dan isu semasa berkaitan dengan masyarakat. DBP melalui Dewan Masyarakat Bil. 09/2021 mengambil inisiatif menampilkan analisis mengenai Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi menghuraikan perubahan landskap sosioekonomi di negeri itu.

YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah.

Dewan Masyarakat keluaran itu bukan sahaja memaparkan wawancara eksklusif editornya, Aninah Janang dari Bahagian Majalah, Jabatan Penerbitan DBP bersama-sama YAB Datuk Seri Panglima Hajiji yang membicarakan hala tuju pembangunan Sabah dan harapan beliau untuk membawa Sabah ke fasa SMJ, malah sebanyak tujuh orang penulis dalam pelbagai bidang dan kepakaran turut menganalisis pelbagai pencapaian dan strategi pembangunan yang sedang dan akan dibangunkan di negeri Di Bawah Bayu ini.

Tujuh orang penulis tersebut ialah Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul – “SMJ: Pelan Pembangunan Bertunjangkan Jati Diri dan Teknologi”; Dr. Lee Kuok Tiung – “Datuk Seri Panglima Hajiji Noor: Figura Politik yang Disegani”; Datuk Joniston Bangkuai – “Pembangunan Sektor Pelancongan Teras Utama Pelan Strategik SMJ”; Dr. Rafiq Idris – “Potensi Ekonomi di Bawah Inisiatif SMJ”; Dr. Asri Salleh – “Sabah Maju Jaya: Jalan ke Hadapan”; Dr. Lai Che Ching@Abd. Latip – “COVID-19: Pendekatan Komunikasi Mempercepat Imuniti Kelompok di Sabah”; dan Hasyuda Abadi – “Sabah Maju Jaya” (puisi).

Maka itu, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji pada petang ini bersetuju menerima kunjungan hormat DBP yang diketuai oleh Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar bersama-sama pegawai DBP, Puan Aninah Janang dan Encik Rusali@Rusdi Awang. Dalam pertemuan itu, YAB Ketua Menteri melahirkan kepercayaan yang tinggi terhadap bahan terbitan DBP, khususnya dalam konteks penggunaan bahasa Melayu yang baik. Atas kepercayaan ini, sebanyak 20 ribu naskhah Dewan Masyarakat Bil. 09/2021 telah ditempah oleh Pejabat Ketua Menteri Sabah dan akan diedarkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah yang akan bersidang esok dan beberapa institusi di negeri Sabah.

Kunjungan hormat DBP yang diketuai oleh Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah bersama-sama pegawai DBP, Puan Aninah Janang dan Encik Rusali@Rusdi Awang di Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Kita mempercayai DBP sebagai gedung bahasa Melayu yang baik. Oleh itu, majalah ini akan kita edarkan kepada beberapa institusi di negeri ini,” ujarnya ketika membelek kulit Dewan Masyarakat Bil. 09/2021 yang memaparkan tajuk “Perjalanan Menuju Sabah Maju Jaya.

Dewan Masyarakat, terbitan DBP mendapat perhatian YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.