24 September 2021, 18:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bagi seorang pekerja, perasaan gembira dan bermotivasi untuk bekerja amat penting sebagai faktor pendorong untuk bekerja atau tidak.

Elemen motivasi sangat signifikan dalam kalangan tiga kelompok pekerja, iaitu golongan yang baru bekerja, mereka yang sudah berada dalam kumpulan jawatan pertengahan, dan yang tidak mempunyai banyak peluang naik pangkat ataupun meningkatkan perkembangan diri.

Pakar psikologi telah menjalankan pelbagai jenis kajian bagi mengenal pasti apa-apa yang mendorong seseorang pekerja gembira dan bermotivasi di tempat kerja. Kajian ini telah mewujudkan pelbagai teori motivasi.

Semua teori motivasi ini mempunyai matlamat yang sama, iaitu menerangkan sebab manusia melakukan apa-apa bentuk tindakan.

Sebenarnya, terlalu banyak faktor yang mempengaruhi tingkah laku dan prestasi seseorang pekerja. Secara umumnya, hal ini bergantung kepada keperluan individu itu sendiri dan keperluan itu dapat dibahagikan kepada beberapa peringkat. Seperti kata Atan Long (1976) dan Maslow (1954), keperluan manusia itu adalah berperingkat-peringkat. Suatu peringkat keperluan yang lebih tinggi tidak mungkin diperolehi sebelum keperluan yang lebih rendah peringkatnya dipenuhi terlebih dahulu. Pada peringkat yang paling rendah, terdapat keperluan hayat ataupun keperluan fisiologi. Setelah keperluan ini dipenuhi, barulah keperluan lain seperti keselamatan, diikuti oleh keperluan kasih sayang, seterusnya peringkat penghargaan kendiri atau penghormatan diri, dan yang paling tinggi ialah keinginan untuk memenuhi potensi diri.

Mencipta Rasa Gembira

Persoalannya, bagaimanakah hendak mencapai suatu tahap yang mampu memenuhi potensi diri dalam bekerja? Hal ini sebenarnya dapat dicapai dengan cara mencipta perasaan gembira dalam bekerja terlebih dahulu.

Pun begitu, bagaimana pula cara untuk mencipta perasaan gembira ketika bekerja, lebih-lebih lagi jika persekitaran tempat kerja itu sendiri tidak mampu mendorong kepada motivasi pekerja?

Pada hakikatnya, pilihan mahu mendorong diri sendiri ataupun tidak terletak pada diri individu itu sendiri. Jika ingin mendorong diri sendiri, yang perlu disematkan dalam minda ialah: “Aku buat semua ini adalah untuk diri aku.”

Jika berniat melakukan sesuatu untuk diri sendiri, jawapannya adalah dengan terus belajar.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Linkedln terhadap 2400 profesional seperti yang dilaporkan dalam HR Asia bilangan 40 (2020) tentang apakah yang membuatkan mereka gembira di tempat kerja? Hasil maklum balas mendapati faktor utama ialah pekerjaan itu sendiri dan peluang untuk mereka belajar dan menambah potensi diri. Lagi banyak yang dipelajari, semakin bertambah keyakinan diri dan perasaan gembira akan timbul. Pada masa yang sama, apabila ditanya mengapa seseorang meninggalkan pekerjaan itu, hal yang demikian adalah kerana mereka tidak mendapat peluang untuk belajar tanpa melihat kepada medium pembelajaran yang dilalui sama ada melalui pembacaan, mengikuti seminar, bengkel atau apa-apa sahaja aktiviti yang meningkatkan kemahiran dan kerjaya. Malah, kajian yang sama mendapati mereka yang menjalani proses pembelajaran berterusan lebih gembira, produktif dan lebih berjaya daripada mereka yang tidak berpeluang belajar.

Mengubah Rutin

Setelah kita mengetahui bahawa proses pembelajaran berterusan akan menyumbang kepada wujudnya rasa gembira, kita juga akan mendapati bahawa dengan terus belajar sesuatu yang baharu akan mengubah cara kita berfikir.

Apabila cara berfikir kita berubah, langkah pertama yang boleh dilakukan adalah dengan menukar rutin harian di tempat kerja. Lihat kebiasaan kita dalam melaksanakan kerja. Lakukanlah apa-apa sahaja yang mengubah rutin harian. Semangat yang timbul daripada perasaan kelainan itu membantu meningkatkan tenaga dalaman yang dapat membendung rasa letih dan kemurungan. Menurut Pakar Psikologi dari Harvard, Carson (2010), dalam bukunya yang bertajuk Your Creative Brain, beliau menjelaskan otak perlu dirangsang untuk melakukan pelbagai perkara tidak hanya mengikut kebiasaan supaya daya kognitif (berfikir, menaakul, menganalisis, membentuk konsep, menyelesaikan masalah) dapat ditingkatkan.

Mencipta Kelainan

Cuba perhatikan senarai tugas kita. Memang, tugasan merupakan perkara biasa yang sering dilakukan secara berulang-ulang. Kemudian, fikirkan penambahbaikan yang dapat kita laksanakan untuk proses kerja kita itu. Fikirkan kelainan. Tidak salah melakukannya dengan meniru idea daripada sekian banyak idea yang telah wujud di dunia ini.

Lakukanlah dengan menggunakan kreativiti sendiri melalui contoh yang ada di sekeliling kita. Dengan kemajuan teknologi terkini, sumber maklumat semuanya di hujung jari. Pasti lebih banyak idea dapat dijana. Lakukanlah hal ini sekalipun hasilnya sedikit kerana menurut seorang saintis dari Persuasive Tech Lab di Stanford University, B.J. Fogg (2019) dalam bukunya bertajuk Tiny Habits: The Small Changes that Change Everything, beliau berkata, otak tidak membezakan antara kejayaan besar mahupun kecil. Otak hanya mengesan adanya frekuensi kejayaan. Kejayaan yang tercetus akan memberikan rangsangan kegembiraan kepada diri seseorang.

Perasaan Asyik dalam Bekerja

Dengan melakukan rutin yang baharu akan menambahkan keasyikan dalam bekerja. Keasyikan akan timbul setelah kita gembira dengan apa-apa yang kita lakukan. Namun demikian, keasyikan bekerja bukanlah bermaksud ketagihan bekerja sehingga menjadikan kita seorang gila kerja atau workaholic kerana perkara ini bukanlah sesuatu yang positif bagi diri seseorang.

Terlalu taasub untuk bekerja boleh mengganggu kesihatan mental.  Menurut Adam Alter (2017) penulis buku Irresistible, beliau menyenaraikan enam ramuan penting yang menyebabkan seseorang bermotivasi sehingga timbul perasaan asyik dengan kerja yang dilakukan:

  1. Mengejar matlamat yang semakin hampir

Asyik bekerja kerana di mindanya tersemat kata-kata, “sikit lagi hendak siap. Mesti selesaikan!”

  1. Keterujaan disebabkan maklum balas positif yang diterima

Asyik bekerja kerana berasa teruja setiap kali kerja yang dilaksanakan mendapat maklum balas positif sama ada daripada ketua, rakan sekerja mahupun pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan daripada kita.

  1. Penambahbaikan berterusan

Asyik bekerja kerana muncul rasa penuh semangat dalam diri apabila hasil kerja yang dilaksanakan itu memperlihatkan impak positif yang memberikan manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri malah orang lain.

  1. Proses pembelajaran

Asyik bekerja kerana kerja yang dilaksanakan itu semakin serasi dengan jiwa dan banyak perkara baharu yang dipelajari sepanjang proses melaksanakannya.

  1. Keterujaan menyelesaikan masalah

Asyik bekerja kerana rasa teruja untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Setiap kali berjaya menyelesaikan masalah, setiap kali itulah kepuasan diri tercapai.

  1. Sistem sokongan

Asyik dengan kerja kerana adanya sistem sokongan yang baik sama ada di pejabat mahupun di rumah.

Justeru, tanyalah pada diri apakah kita gembira dengan pekerjaan yang kita lakukan sekarang? Jika semua kaedah telah dilaksanakan namun tidak memberikan keberhasilan positif untuk diri kita, maka sudah tiba masanya kita menilai semula majikan, pekerjaan, dan seluruh kerjaya kita. Mungkin bukan kerjaya yang salah, tetapi kita yang tidak sesuai untuk kerjaya itu. Apa-apa pun, pilihan tetap atas diri sendiri dan jika kita inginkan perubahan untuk diri sendiri, maka perbetulkan niat dan percayalah, minda akan turut berubah selepas itu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.