25 September 2021, 15:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Umum mengetahui bahawa sekolah akan dibuka semula pada 3 Oktober 2021. Hal ini sudah tentu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa. Oleh hal yang demikian, Agenda Awani membawakan Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin untuk menjawab dan memberikan pencerahan yang lebih jelas terhadap kebimbangan dan persoalan yang ditimbulkan. Rancangan ini dibawakan secara langsung oleh Astro Awani malam tadi.

Menurut YB Datuk Dr. Radzi Jidin, antara pendekatan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membuat keputusan untuk membuka semula sekolah termasuklah memantau keadaan semasa dengan mengambil kira kadar vaksinasi di samping mengadakan sesi libat urus untuk mendapatkan pandangan daripada semua pihak dan melihat pendekatan yang terbaik.

Beliau meringkaskan bahawa secara umumnya, negeri yang berada pada Fasa Satu, iaitu negeri Kedah, sekolah tidak akan dibuka. Adapun begitu, permohonan dibuat untuk membenarkan satu kumpulan sahaja kembali ke sekolah, iaitu murid tingkatan enam (Semester 2) yang akan menduduki peperiksaan pada akhir bulan Oktober. Bagi negeri yang berada pada Fasa Dua, murid tidak akan ke sekolah kecuali murid tingkatan enam (Semester 2) dan Murid Berkeperluan Khas (MBK) peringkat rendah dan menengah. Negeri Fasa Tiga pula melibatkan murid prasekolah selain daripada MBK dan murid kelas peperiksaan sahaja, iaitu murid tingkatan lima dan enam. Bagi negeri Fasa empat, dua minggu pertama akan hanya dibuka untuk murid kelas peperiksaan, kemudian diikuti oleh peringkat-peringkat yang lain. Maklumat secara menyeluruh berkaitan perkara ini boleh dirujuk dalam portal KPM.

Menurut beliau lagi, status pengoperasian sekolah apabila berlaku perubahan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi sesebuah negeri akan diberi tempoh sekurang-kurangnya dua minggu untuk sekolah beroperasi mengikut fasa yang baharu. Tambah beliau, ibubapa tidak perlu risau kerana kenyataan tentang pembukaan sekolah bagi setiap negeri akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sekolah dibuka.

YB Menteri Kanan Pendidikan turut menjelaskan tentang sistem penggiliran yang akan dijalankan apabila sekolah dibuka nanti.

 

Rasionalnya sistem penggiliran ini ialah sebilangan murid sahaja yang akan terdedah dengan risiko jika berlaku jangkitan. Selain itu, guru juga lebih mudah untuk mengawal dan memantau murid kerana kehadiran di sekolah hanya 50 peratus sahaja. Oleh itu, isu kesesakan akan dapat ditangani dengan lebih mudah.

Terdapat garis panduan dan penambahbaikan yang dibuat oleh KPM untuk memastikan murid kembali ke sekolah dalam keadaan selamat, termasuklah dengan memastikan pengudaraan di bilik darjah berada dalam keadaan yang paling optimum di samping mewajibkan semua yang berada di kawasan sekolah memakai pelitup muka. KPM juga akan menyediakan beberapa set kit ujian air liur untuk kegunaan pihak sekolah.

Beliau turut memberikan pesanan kepada guru yang enggan divaksin, “apa yang membezakan perkhidmatan guru dengan perkhidmatan lain ialah guru  berdepan dengan anak-anak kita, sebab itu kami di pihak kementerian melihat hal ini sebagai satu perkara yang amat penting. Nasihat dan kaunseling sudah pun diberikan. Sementara menunggu keputusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam tentang tindakan selanjutnya, guru yang tidak divaksin tidak akan dibenarkan mengajar murid secara bersemuka. Namun begitu, demi perkhidmatan, terdapat pendekatan yang perlu diambil. Jika terpaksa menukarkan mereka bagi memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas, kita akan laksanakan.”

Berkenaan sesi persekolahan yang akan dilanjutkan sehingga bulan Februari 2022, YB Datuk Dr. Radzi turut menjelaskan bahawa satu tempoh diperlukan untuk menilai tahap penguasaan murid dengan menggunakan sedikit ruang bagi memperkasakan kefahaman murid sebelum mereka naik ke kelas seterusnya. Oleh itu, KPM membuat ketetapan pada bulan Januari dan Februari 2022 murid kekal di kelas masing-masing. Hal ini adalah satu cara untuk guru mengenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap murid.

Ibu bapa perlu faham tentang fasa, sekolah akan dibuka mengikut fasa. KPM telah ikhtiarkan yang terbaik. Kami mencari pendekatan dari seluruh dunia bagi memastikan anak-anak kembali ke sekolah dengan keadaan yang selamat.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.