26 September 2021, 21:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
YB Datuk Dr. Radzi bersama-sama Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof (Ketua Setiausaha KPM), Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid (Ketua Pengarah Pendidikan, KPM) dan YB Dewan Undangan Negeri Kedah dalam Sesi Libat Urus.

Langkawi – YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus menyantuni Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Langkawi, Kedah dalam usaha mengembalikan semula keyakinan pelajar untuk kembali ke sekolah tatkala jangkitan wabak COVID-19 masih menular.

Dalam Sesi Libat Urus Bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru pada pagi tadi, YB Datuk Dr. Radzi menitikberatkan sokongan ibu bapa dalam pelaksanaan pembukaan sekolah yang akan bermula pada 3 Oktober mengikut ketetapan fasa baharu bagi negeri masing-masing.

Wakil PIBG yang hadir pada pagi ini.

Menurut YB Datuk Dr. Radzi, pembukaan sekolah merupakan satu daripada langkah untuk mengurangkan tekanan emosi yang dihadapi oleh anak-anak berikutan dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh yang lama.

Melalui pembelajaran secara bersemuka, anak-anak lebih mudah untuk berkongsi permasalahan mereka dengan rakan-rakan dan guru-guru, sama ada berkaitan dengan pembelajaran mahupun masalah lain. Perkara ini secara tidak langsung dapat memberikan ruang kepada mereka untuk mengurangkan tekanan emosi yang dihadapi melalui interaksi sosial.

Tambah beliau, sekolah merupakan sebahagian daripada kehidupan anak-anak dan menjadi platform terbaik untuk mereka meningkatkan produktiviti pembelajaran, disiplin dan tatacara hidup, terutamanya dalam menghadapi kebiasaan baharu menuju era endemik COVID-19.

Pelaksanaan pembukaan sekolah ini juga mengambil kira pelbagai aspek, seperti latar belakang pelajar dan kemudahan kelengkapan semasa PdPR. Hal ini disebabkan terdapat segelintir pelajar yang tidak mempunyai kemudahan Internet dan peranti untuk pelibatan diri mereka di dalam kelas secara maya.

“Selain itu, bebanan guru dan ibu bapa yang terpaksa berkongsi peranti dengan anak-anak dan menguruskan PdPR anak-anak di rumah juga dapat dikurangkan apabila sesi persekolahan kembali seperti sedia kala.

Tambahan pula, kadar pengambilan vaksinasi di Langkawi telah mencapai lebih daripada 80 peratus. Oleh hal yang demikian perkara ini lebih mendorong KPM untuk membuka semula persekolahan agar tiada isu keciciran pendidikan dalam kalangan pelajar.

KPM sentiasa komited mencari titik tengah bagi menyelesaikan isu ini demi masa depan pelajar. Pada masa sama, Murid Berkeperluan Khas (MBK) juga diberikan perhatian secara keseluruhannya supaya mereka dapat menyesuaikan kembali diri dengan persekitaran pembelajaran di sekolah.

“Antara tujuan lain, sistem persekolahan akan dijadikan sebagai tempat atau medium untuk memupuk jati diri yang jitu dalam kalangan pelajar, di samping menerapkan perasaan cinta akan ilmu.

Menyedari akan cabaran dan risiko ketika pandemik ini, YB Datuk Dr. Radzi menegaskan bahawa pihak sekolah perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekalkan kelompok yang selamat tanpa menjejaskan pengajaran dan kesihatan pelajar serta semua kakitangan sekolah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.