26 September 2021, 23:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Kebanyakan negeri telah berpindah ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Langkawi yang akan beralih ke pada fasa tersebut telah mula membuat persediaan bagi pembukaan sekolah pada 3 Oktober 2021.

Berdasarkan keperluan tersebut, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan bersama-sama Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan para pegawai KPM sekali lagi turun padang melihat persediaan untuk menyambut kehadiran pelajar yang akan kembali ke sekolah.

Melalui sidang media yang diadakan di Kolej Vokasional Langkawi pada petang ini, YB Datuk Dr. Radzi menegaskan bahawa ruang fizikal seperti sistem pengudaraan yang baik di dalam kelas adalah penting untuk keselamatan pelajar, di samping bilik kuarantin bagi mengasingkan pelajar sekiranya bergejala.

YB Datuk Dr. Radzi dan Datuk Yusran mendengar penerangan daripada pengetua sekolah berkaitan dengan persediaan pembukaan sekolah.
YB Datuk Dr. Radzi turut meninjau persekitaran Kolej Vokasional Langkawi bagi melihat keperluan dan kelengkapan pembelajaran.
Lawatan di bengkel pastri dan bakeri.

Selain aspek fizikal, YB Datuk Dr. Radzi menyatakan bahawa pelajar yang akan kembali ke asrama perlu menjalani tiga kali saringan COVID-19 untuk memastikan mereka selamat berada di sekolah. Misalnya, mereka perlu menjalani ujian air saliva atau air liur sebelum mendaftar masuk ke asrama serta pada hari keenam dan keempat belas semasa mereka berada di asrama. Sekiranya pelajar didapati bergejala, pelajar tersebut akan segera diasingkan demi keselamatan warga asrama.

Lawatan di bengkel automatif.

Bukan hanya pelajar, KPM juga akan memastikan guru, kakitangan kebersihan, keselamatan dan petugas dewan makan juga perlu dipastikan telah divaksinasi.

“Jika ada guru yang tidak mahu divaksin, KPM akan mengambil tindakan untuk menarik mereka keluar dan menempatkan mereka di tempat atau di negeri yang lain supaya warga sekolah tersebut adalah dalam kalangan mereka yang telah divaksin,” ujar YB Datuk Dr. Radzi.

KPM sebelum ini telah memberikan nasihat kepada hampir 415 000 orang guru tentang keperluan vaksinasi. Walau bagaimanapun, daripada jumlah tersebut, lebih kurang 2000 guru masih lagi enggan menjalaninya. KPM memandang serius akan perkara ini kerana hal ini boleh menjejaskan pendidikan dan kesihatan warga sekolah.

Berdasarkan persediaan rapi yang dilaksanakan oleh KPM sebagaimana yang dinyatakan tersebut, rata-rata ibu bapa menyambut baik pembukaan sekolah yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Hal ini dapat dilihat apabila terdapat dalam kalangan ibu bapa yang bersemangat menghantar anak-anak mereka untuk divaksinasi ekoran daripada pelaksanaan vaksinasi dalam kalangan pelajar yang berumur antara 12 hingga 17 tahun.

“Walaupun demikian, KPM akan terus memantau penerimaan vaksinasi dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak sebelum ada ketetapan berkaitan dengannya dibuat. KPM juga akan mengambil pendekatan yang sewajarnya jika perlu,” tambah beliau lagi.

Selain itu, pembukaan sekolah disambut baik oleh ibu bapa kerana mengambil kira keperluan pelajar tingkatan 6 semester 2 bagi kohort 2021 yang bakal menduduki peperiksaan pada akhir Oktober ini. Jumlah pelajar tingkatan 6 semester 2 di Kedah pada masa ini adalah sebanyak 2705 orang. Kehadiran mereka ke sekolah memberikan peluang kepada pelajar untuk menyelesaikan perkara tertentu yang memerlukan penjelasan lanjut daripada guru secara bersemuka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.