28 September 2021, 22:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Sabtu lalu telah mengadakan tinjauan ke sebuah sekolah menengah dan tiga buah sekolah rendah di Pulau Tuba, bagi meneliti persiapan dan persediaan sekolah yang bakal diadakan secara bersemuka pada 3 Oktober ini.

Rombongan Menteri Kanan Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr. Radzi Jidin memulakan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkawi Pulau Tuba diikuti dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Chempedak dan SK Pulau Tuba sebelum ke SK Selat Bagan Nyior.

Rombongan KPM melakukan tinjauan terhadap persiapan pembukaan sekolah di sekitar Pulau Langkawi.

Menerusi hantaran di Facebook, YB Dr. Radzi menyatakan, beliau mendapati sekolah tersebut telah bersedia, kecuali beberapa aspek yang perlu ditambah baik, khususnya dalam konteks pengudaraan di bilik darjah dan bilik khas.

Dalam satu hantaran lain bertarikh 26 September, beliau berkata, “semua pihak perlu memahami dengan jelas tatacara pengoperasian sekolah yang telah ditetapkan seperti penggiliran dan kehadiran murid serta Prosedur Operasi Standard (SOP).”

Lawatan KPM ke Langkawi diteruskan dengan mengadakan tiga sesi libat urus pengoperasian sekolah bersama-sama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru sekolah rendah dan menengah serta guru besar dan pengetua dari 29 sekolah di seluruh Pulau Langkawi pada Ahad lalu.

Sesi tersebut diadakan bagi memperjelas dan memperincikan lagi perkara berkaitan dengan pengoperasian sekolah dan hal berbangkit yang memerlukan penjelasan lanjut daripada pihak KPM.

Pengoperasian sekolah di Pulau Legenda ini dilaksanakan mengikut ketetapan negeri dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) memandangkan Langkawi merupakan kawasan gelembung pelancongan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.