4 Oktober 2021, 20:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Pilah – Bermula semalam hingga hari ini, hampir semua negeri di seluruh negara memulakan pembukaan semula sekolah secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) negeri masing-masing, melainkan Johor dan Kedah yang akan membuka sekolah bermula pada 10 Oktober akan datang.

Rombongan YB Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin turun padang pada hari pembukaan semula sekolah di sekitar Negeri Sembilan.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin, sebanyak 64 ribu pelajar terlibat dengan pembukaan sekolah di negeri Kumpulan B pada hari ini. Beliau melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan bersempena dengan pembukaan semula sekolah secara bersemuka pada hari ini.

Dalam lawatan tersebut, YB Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin menyatakan bahawa kehadiran murid di sekolah sama seperti pada Jun 2020 dengan menyaksikan kehadiran murid Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) amat baik dan hampir semua murid peperiksaan ini hadir.

KPM melakukan tinjauan pengoperasian semula sekolah di SMK Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan.

“Pelajar kelihatan gembira, terutamanya mereka yang bakal menghadapi peperiksaan kerana pembukaan sekolah memudahkan mereka membuat persediaan. Kehadiran mereka cukup baik, termasuklah murid prasekolah serta murid berkeperluan khas dan penerimaan ibu bapa juga cukup baik,” ujarnya.

Tambah beliau, dengan mengambil kira hari pertama persekolahan, kehadiran murid amat memberangsangkan. Walaupun masih ada ibu bapa yang berasa masih belum sesuai dan belum bersedia untuk menghantar anak-anak ke sekolah pada ketika ini, sekolah tidak akan mengambil sebarang tindakan disiplin ke atas mereka.

Menteri Kanan Pendidikan turut menyatakan bahawa peratusan kehadiran perlu dilihat beberapa hari selepas pembukaan sekolah.

“Memandangkan hari ini baru hari pertama persekolahan, purata kehadiran belum dapat disimpulkan untuk dijadikan sebagai penunjuk data,” ujar YB Datuk Dr. Radzi.

Dalam tinjauan tersebut, beliau turut menegaskan bahawa aspek pengudaraan yang baik di dalam bilik darjah dan di bilik guru perlu diberikan penekanan memandangkan prosedur operasi standard (SOP) pengudaraan masih belum dipatuhi secara optimum.

KPM sentiasa berpesan agar semua pihak mementingkan pematuhan SOP di dalam bilik darjah serta di kawasan sekolah.

“Melalui kaedah pembukaan sekolah secara penggiliran ini, kami sentiasa berpesan kepada semua pihak yang terlibat dengan pembukaan sekolah agar mengamalkan SOP dengan baik.”

Menurut YB Datuk Dr. Radzi, pendekatan baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperlihatkan sekolah dibuka semula dengan kehadiran 50 peratus kapasiti sekolah menerusi pembahagian setiap kelas kepada dua kumpulan. Sekolah juga masih perlu membuat kemasukan atau penyuraian secara berperingkat.

“Kemasukan secara berperingkat ini boleh kita lihat secara terperinci dan mendalam. Jika ada sebarang kekurangan, kita boleh lakukan penambahbaikan. KPM juga akan menjalankan sesi libat urus bagi membincangkan secara terperinci mengenai isu yang berkaitan dengan pengoperasian semula sekolah secara bersemuka.”

“Berdasarkan keadaan semasa, itulah kaedah yang terbaik bagi pelajar untuk bersedia memulakan persekolahan secara bersemuka,” tambah beliau.

Wawancara bersama-sama murid SMK Tunku Kurshiah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.