8 Oktober 2021, 13:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ibarat sejadah buruk,
Dipandang lusuh,
Dibuang sayang,
Disimpan tak sudah.

Begitulah gambaran persepsi tentang warga emas secara umum. Persepsi begini bukanlah asing dalam masyarakat Malaysia. Walaupun sekali imbas, hal ini seakan-akan membawa maksud yang negatif, namun itulah realiti masyarakat pada hari ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Fenomena penuaan merupakan kejadian alamiah yang akan berlaku dalam hukum kitaran kehidupan semua hidupan di bumi.

Secara hukum alamiah, setiap yang hidup pasti mati. Bermula dengan proses kelahiran, membesar, dewasa dan tua pada akhirnya.

Laporan World Population Ageing 2019 menjelaskan, unjuran warga emas dunia sedang melangkah angka 703 juta individu yang sedang mendaki usia 60 tahun. Anggaran itu berkembang dua kali ganda menjelang tahun 2050 ekoran kualiti kehidupan melalui kemajuan teknologi perubatan di seluruh dunia. Kajian yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meletakkan kewajaran 1.5 bilion warga emas di seluruh dunia sebagai kunci penting penunjuk dunia pada masa hadapan.

Malaysia juga tidak terkecuali dalam menelusuri fenomena ini. Kajian mengenai kesejahteraan sosial di Malaysia merupakan perkara penting dalam melakar Dasar Warga Emas Negara yang seimbang. Buat masa ini, kadar penuaan di Malaysia berada pada paras 7.0 peratus pada tahun 2020 lalu. Menurut Pengarah Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial, Universiti Malaya, Profesor Emiratus Datuk Dr. Norma Mansor, negara ini bakal mempunyai golongan warga emas yang ramai menjelang tahun 2030. Dianggarkan populasi Malaysia yang berusia 65 tahun ke atas akan meningkat dua kali ganda kepada 14 peratus menjelang tahun 2044. Unjuran ini akan meningkat sehingga 20 peratus menjelang tahun 2056.

Berdasarkan keadaan itu, Malaysia akan diklasifikasikan sebagai negara yang “berusia tua”. Bagaimanapun, selepas tahap ini, pengembangan demografi bakal mengubah status daripada negara tua kepada negara berusia dengan bilangan generasi muda bawah umur 25 tahun bertambah.

Aspek kebajikan dan kelangsungan hidup bagi individu yang bakal menjelang usia emas sebenarnya adalah keutamaan yang perlu difokuskan terutama buat mereka yang berada di ambang 40-an menjelang tahun 2022.

Dua elemen ini merupakan perkara asas dalam membina sokongan sosial kebolehbergantungan bagi menulusuri usia emas yang panjang.

Justeru, simpanan kukuh persaraan amat penting selain menyediakan keperluan sokongan kesihatan bagi membantu menguruskan rawatan pada usia emas. Hal ini sejajar dengan enam strategi Dasar Warga Emas yang digariskan oleh  kerajaan dengan menitikberatkan aspek kekeluargaan sebagai tunjang utama dengan toleransi sebagai keperluan bagi mengurangkan jurang generasi melalui slogan “Warga Emas Dihormati, Orang Muda Disayangi”.

Walau bagaimanapun, proses kebandaran yang semakin berkembang dan melebar ke luar bandar bakal mengubah persepsi ini. Sikap individualistik menjadi ancaman kepada sistem sokongan sosial sedia ada. Tindakan meminggirkan warga emas merupakan ancaman baharu yang boleh menyebabkan ketidakseimbangan jurang generasi melalui persepsi warga emas “membebankan” bakal berlaku. Keadaan boleh menjadi buruk apabila wujud sebilangan besar warga emas yang bergantung penuh pada ahli keluarga dan jiran tetangga.

Kedudukan kewangan yang tidak stabil menjadi punca utama menyebabkan warga emas dipinggirkan. Mereka yang tidak ada simpanan cukup dengan ekonomi hari tua yang tidak kukuh, bakal terkesan apabila tidak mampu menyara hidup dan kos rawatan hari tua yang semakin tinggi. Hal ini menjadi lebih buruk apabila warga emas sudah tiada upaya untuk mengurus diri sendiri dan terpaksa bergantung pada khidmat orang lain untuk mengurus diri.

Kemunculan pusat jagaan warga emas berbayar pula menuntut yuran untuk diselesaikan. Hal ini secara langsung menjejaskan hubungan kekeluargaan sekiranya ahli keluarga ini berada dalam kategori B40. Impak ini sekali gus menjadi faktor yang menjawab persoalan punca warga emas dipinggirkan. Tidak mustahil, suatu ketika nanti undang-undang warga emas perlu diwujudkan bagi menjamin kelestarian dan kesejahteraan warga emas.

Kajian Penuaaan dan Persaraan Malaysia yang dilakukan oleh Pusat Kajian Kesejahteraan Sosial, Universiti Malaya menjelaskan bahawa warga emas di Malaysia masih percaya untuk bergantung pada ikatan keluarga. Data yang dikumpulkan daripada 5613 orang merangkumi kehidupan peribadi dan pengalaman responden yang berada pada usia 40 ke atas. Dapatan data menjelaskan, 42 peratus responden memberikan sokongan kewangan kepada anak-anak mereka, manakala 48 peratus lagi menerima sokongan kewangan daripada anak-anak. Secara kasar, jumlah sokongan kewangan ini berlangsung dalam jumlah antara RM100 hingga RM150.

Kajian ini juga menunjukkan bahawa lebih banyak responden mendapat sokongan kewangan seiring dengan pertambahan usia. Faktor ikatan kekeluargaan masih menjadi pilihan. Lebih daripada separuh percaya bahawa mereka memerlukan rawatan apabila melangkah umur melebihi 65 tahun. Lebih 80 peratus pula bersetuju bahawa undang-udang harus diwujudkan bagi mewajibkan anak-anak menjaga ibu bapa mereka dengan pertimbangan bahawa kos kesihatan dan rawatan di usia emas akan menjadi tinggi.

Majoriti responden perlu bergantung pada kemudahan rawatan kesihatan awam yang disediakan oleh institusi kerajaan dan hanya sebilangan kecil daripada mereka mempunyai insurans kesihatan untuk menampung keperluan pada usia senja. Sementara itu, banyak yang tidak mempunyai simpanan hari tua yang mencukupi. Empat daripada 10 orang terpaksa bergantung pada bantuan kerajaan untuk meneruskan kehidupan seharian selepas semua wang simpanan, tabungan dan aset mereka tidak mencukupi ketika menjelang usia persaraan.

Sehubungan dengan itu, cadangan mengenai keperluan kerajaan memberikan insentif merupakan satu pendekatan berjangka panjang yang perlu dilaksanakan. Langkah memperkenalkan insentif kepada pengasuh keluarga bukan sesuatu yang baru. Amalan ini telah dilaksanakan di negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia. Malah, elaun sokongan hari tua dengan rebat potongan cukai pendapatan menjadi amalan yang memberikan impak positif dalam merencanakan dasar warga emas. Semua ini boleh dicapai melalui pengubalan undang-undang yang menentukan perlindungan sosial warga emas.

TABUNGAN HARI TUA

Sebagai permulaan, insentif untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada “orang yang lebih tua” bakal membuka peluang kepada golongan praambang berusia emas, iaitu mereka yang berada antara 40 hingga 59 tahun yang diberhentikan kerja akibat ketidakseimbangan ekonomi ataupun bersara wajib.

Selain itu, perkara ini juga menjadi cahaya baru buat mereka yang sudah melangkau usia emas, untuk bekerja semula bagi mengumpulkan dana baru melalui tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Pemberian pelepasan cukai kepada majikan yang menggaji golongan warga emas akan menjadi faktor penggalak untuk pemain industri mempertimbangkan jawatan bersesuaian untuk golongan ini. Insentif sebegini akan meningkatkan produktiviti negara.

Sementara itu, promosi celik kesihatan perlu dibuat bagi membangunkan dan melaksanakan komunikasi berkesan dan pendidikan berstruktur supaya orang ramai dapat meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan keupayaan bertindak berdasarkan faktor penentu, iaitu kesihatan dan ekonomi. Justeru, semua insentif ini perlu digazetkan dalam belanjawan negara untuk mendatangkan impak berkesan.

Usaha melatih semula warga emas agar sesuai dengan ekonomi digital akan meningkatkan kebolehhasilan untuk mengeluarkan elaun hari tua melalui “Bantuan Orang Tua-tua” apabila mencapai usia 70 tahun ke atas. Pengiktirafan terhadap ekonomi penjagaan atau asuhan akan membuka peluang kerjaya baru sejajar dengan keperluan sektor sosial dan penjagaan di Malaysia. Usaha ini perlu dipersiapkan ke arah standard profesionalisme dengan pensijilan kompetensi khidmat penjagaan sosial.

Sejujurnya, persepsi mengenai individu berusia emas perlu berubah seiring kemajuan dunia. Jika dahulu mereka dipandang sebagai tidak produktif, kini usaha mengubah persepsi ini dengan penyediaan latihan akan memperlihatkan permata yang penuh pengalaman bergiat aktif melalui ekonomi digital seiring keperluan semasa. Tiada yang baru tanpa yang lama dan tiada yang tua tanpa golongan muda. Merapatkan jurang generasi dengan pengetahuan baru akan mendayakan produktiviti pelbagai peringkat umur. Buat golongan muda, sediakan payung sebelum hujan. Kukuhkan simpanan sebelum bersara.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.