Oleh Syaza Wardina
14 Oktober 2021, 15:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pusat Bertauliah Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Pusat Pembangunan Keilmuan dan Kemahiran Akademi DBP (PPKKADBP) secara dalam talian yang bersiaran menerusi studio siaran langsung media sosial DBP, pada pukul 2.30 petang tadi.

 

Majlis yang diadakan buat julung-julung kalinya ini bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada empat orang penerima SKM Tahap 3 yang mengikuti pengajian di PPKKADBP pada sesi pengajian tahun 2019/2020 dalam bidang editorial. Keempat-empat orang penerima tersebut ialah Nor Syamimi Musa, Muhammad Darwis Nashrulah Anas Chan, Abdul Karim Mohd dan Muhammad Solleh Mahfoz.

Sebanyak empat orang penerima SKM Tahap 3 (Editorial) yang mengikuti pengajian di bawah PPKKADBP bagi sesi pengajian 2019/2020.

Menerusi ucapan perasmian Majlis Penyampaian SKM PPKKADBP yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, beliau berkata, “saya penuh berkeyakinan dan percaya usaha yang dilakukan oleh DBP dalam menyediakan SKM bidang editorial ini juga akan memberikan impak yang tinggi kepada industri penerbitan. Hal ini dikatakan demikian kerana program yang menawarkan peluang latihan kemahiran berorientasikan pekerjaan berasaskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) ini memenuhi kehendak industri semasa.”

Melalui program ini, 70 peratus tumpuan kepada latihan praktikal dan hanya 30 peratus pendedahan kepada teori.

Dalam Majlis Penyampaian SKM PPKKADBP itu juga, sebanyak 13 orang pegawai DBP dianugerahkan Sijil Operasi Latihan Vokasional (VTO) sekali gus mengiktiraf mereka sebagai tenaga pengajar kemahiran di PPKKADBP.

Barisan tenaga pengajar kemahiran di PPKKADBP menerima Sijil Operasi Latihan Vokasional dalam Majlis Penyampaian SKM PPKKADBP Kali Pertama.

 


Pusat Bertauliah Akademi DBP telah memulakan pengambilan pertama pelajarnya pada tahun 2019. Bagi memenuhi kelayakan menjadi pusat bertauliah, modul pengajaran dan pembelajaran dibangunkan mengikut spesifikasi Kementerian Sumber Manusia, melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan mendapat sokongan kewangan dan kepakaran daripada Bahagian Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan, JPK. Pusat Bertauliah Akademi DBP telah ditauliahkan atas nama PPPKKADBP pada 22 Disember 2016.

PPKKADBP merupakan institut latihan kemahiran yang pertama ditubuhkan oleh DBP bagi mengendalikan latihan kemahiran dalam bidang penerbitan khususnya editorial. Graduan daripada PPKKADBP dilengkapkan dengan pengetahuan, kemahiran, keyakinan dan sahsiah diri untuk merebut peluang kerjaya dalam sektor penerbitan. Selain itu, mereka juga diterapkan dengan sikap inovasi, kreatif, bermoral dan beretika tinggi, sesuai dengan tugas dan tanggungjawab apabila berada dalam dunia pekerjaan. Hal ini selari dengan wawasan negara ke arah Revolusi Industri 4.0 yang menuntut pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian berpendapatan tinggi.

Suasana pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas PPKKADBP.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.