Oleh Azhar Md. Sabil
15 Oktober 2021, 16:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pandemik COVID-19 telah banyak mengubah landskap dan iklim pendidikan hari ini. Menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), lebih daripada 1.5 bilion murid atau 87 peratus daripada populasi murid di 165 buah negara terjejas akibat penutupan sekolah gara-gara pandemik ini.

Pada April lalu, UNESCO turut menegaskan bahawa sebanyak 1.6 bilion generasi muda termasuk murid tidak dapat bersekolah, manakala mahasiswa tidak dapat meneruskan pengajian di universiti. Lebih menakutkan apabila kajian Bank Dunia melaporkan bahawa sebanyak 72 juta murid daripada 150 buah negara berhadapan dengan ancaman buta huruf atau ketandusan pembelajaran pada usia 10 tahun lantaran tidak boleh membaca dan memahami teks mudah. Oleh itu, Robert Jenkins, Ketua Pendidikan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengingatkan dunia bahawa keutamaan untuk membuka semula sekolah dan mengejar pembelajaran yang tertinggal adalah begitu kritikal.

Dalam mendepani pendidikan pada era pandemik ini, Singapura menyusun sesi persekolahan agar keciciran pembelajaran tidak berlaku. Penggiliran dan pengoperasian sekolah juga disusun di semua institusi secara berperingkat antara pembelajaran bersemuka dengan pembelajaran secara dalam talian. Bahan pembelajaran di rumah turut dibekalkan agar kerisauan ibu bapa dapat dikurangkan, di samping membantu peningkatan pembelajaran anak-anak semasa di rumah.

Di Australia dan New Zealand pula, sistem pendidikan di kedua-dua buah negara tersebut turut dibuka agar proses pendidikan muridnya tidak terjejas teruk. Bagi menjayakan hal ini, pihak sekolah diberikan kebebasan untuk menyusun proses pengajaran dan pembelajaran, antaranya termasuklah jadual penggiliran, penggabungan kandungan pembelajaran, penyediaan bahan pembelajaran secara dalam talian, dan peningkatan penggunaan sistem Internet agar interaksi dengan ibu bapa berkaitan dengan perkembangan pembelajaran anak dapat dilaksanakan dengan baik. Pelbagai inisiatif pendidikan juga dilaksanakan agar komuniti pendidikan dapat menjalankan tugas dengan lancar dan sempurna.

Di Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyedari akan implikasi penutupan sekolah sepanjang pandemik COVID-19 ini. Maka itu, KPM berusaha keras untuk membawa warga pendidik dan murid kembali ke sekolah. Sehubungan dengan itu, KPM telah mengadakan sesi libat urus bersama-sama kumpulan pakar bagi menangani isu dan cabaran warga pendidik, selain libat urus dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan murid serta guru di sekolah apabila sesi persekolahan dibuka. Sesuatu yang melegakan kebimbangan masyarakat ialah usaha libat urus melalui sesi dialog pengurusan KPM dengan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), pengetua, guru besar serta para guru turut diadakan bagi mendapatkan pandangan dan memuktamadkan pelan komprehensif pembukaan sekolah. Hasilnya, prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai telah dirangka bagi memastikan kelancaran proses pengoperasian sekolah pada awal Oktober yang lalu.

Vaksinasi dalam kalangan murid dan seluruh warga sekolah juga dilaksanakan sebagai langkah berjaga-jaga. Proses vaksinasi terhadap murid berumur 12 tahun ke atas sebelum mereka dibenarkan kembali ke sekolah pastinya meningkatkan lagi keyakinan semua pihak terhadap keputusan pengoperasian semula persekolahan yang diputuskan oleh KPM.

Sebagai kebiasaan baharu dalam sistem pendidikan negara, usaha sebegini merupakan antara inisiatif KPM untuk mendekatkan kembali murid dengan sistem pendidikan negara. Penilaian risiko secara berterusan hendaklah dilaksanakan secara berkala sehinggalah pandemik ini dapat dikekang.

Langkah ini perlu sebagai jaminan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dalam situasi yang selesa dan selamat.

Sehubungan dengan itu, semua pihak, iaitu sekolah, murid, ibu bapa dan semua pemegang taruh wajar memastikan SOP sentiasa dipatuhi dalam usaha menyediakan persekitaran yang selamat dan sihat. Walau bagaimanapun, isu utama pembukaan sekolah bukan tertakluk kepada SOP semata-mata, tetapi turut bergantung juga dengan sikap dan kepatuhan individu terhadap garis panduan yang ditetapkan.

 

Strategi KPM

KPM telah menyediakan garis panduan yang berkaitan dengan pengurusan dan pengoperasian sekolah dalam kebiasaan baharu. Yang pastinya, keputusan pembukaan semula sekolah ini juga merupakan keputusan yang terbaik yang dilakukan oleh KPM. Jaminan KPM bahawa semua murid dijamin selamat apabila berada di sekolah pastinya memberikan kelegaan kepada murid dan ibu bapa.

Penggiliran murid yang hadir ke sekolah juga perlu dipatuhi bagi memastikan tidak berlaku keciciran pembelajaran. Sebagai contoh, jika di dalam kelas tersebut mempunyai 30 orang murid, murid akan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu Kumpulan A dan B dengan setiap kumpulan terdiri daripada 15 orang murid. Kumpulan A akan mengikuti pembelajaran secara bersemuka pada minggu pertama, sementara Kumpulan B akan menjalani PdPR dengan bahan pembelajaran yang dibekalkan oleh guru. Minggu berikutnya Kumpulan B akan menjalani pembelajaran secara bersemuka di sekolah, sebaliknya Kumpulan A secara PdPR dan begitulah seterusnya. Pada peringkat awal sudah pasti ibu bapa, murid serta guru akan berhadapan kesukaran bagi membiasakan diri dengan pendekatan ini. Walau bagaimanapun, langkah ini dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kadar jangkitan sekiranya berlaku selain mengurangkan kesesakan di sekolah khususnya semasa proses penyuraian murid selepas tamat sesi persekolahan.

Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) juga sudah pasti perlu disusun dan diubah suai semula mengikut kesesuaian kaedah yang disarankan oleh KPM. Namun begitu, pembelajaran secara hibrid dan teradun turut menjadi kaedah dan pendekatan yang terbaik bagi menangani isu sukatan pelajaran. Pastinya pihak sekolah diberikan kelonggaran oleh KPM untuk menentukan kaedah yang terbaik dalam pelaksanaan pengoperasian persekolahan ini agar dapat berjalan dengan sempurna.

Kesan pandemik COVID-19 juga menyebabkan KPM merombak sesi persekolahan semasa. Sesi persekolahan tahun 2021 juga terpaksa dianjak hingga 2 Februari 2022, manakala sesi persekolahan 2022 hanya akan bermula pada Mac 2022. Jadual peperiksaan awam berkemungkinan akan turut berubah dalam takwim persekolahan yang baharu ini.

Maka itu, semua pihak diharapkan dapat melihat perubahan ini dari sisi yang positif. Hal ini dikatakan demikian kerana guru dan murid bagi kelas peperiksaan sudah tentu akan lebih bersedia kerana mempunyai tempoh masa yang mencukupi sebelum peperiksaan dapat dilaksanakan. Kebimbangan yang sering menghantui ibu bapa dan calon peperiksaan berkaitan dengan fenomena musim tengkujuh pada setiap hujung tahun juga dapat dielakkan jika perubahan jadual sesi persekolahan yang baharu ini dilaksanakan.

Keputusan pengoperasian sekolah yang dibuat ini memerlukan suatu pendekatan yang komprehensif untuk merangka pelan jangka masa pendek seperti yang diterangkan tadi dan pelan jangka masa panjang yang menuntut penetapan tarikh peperiksaan awam akan datang sekiranya keadaan pandemik COVID-19 masih berterusan.

Pihak sekolah pula perlu merancang takwim aktiviti persekolahan agar selari dengan perubahan sesi persekolahan tersebut. Matlamat pendidikan negara perlu diberikan keutamaan dan diteruskan bagi mengelakkan kesan lain yang lebih besar akibat daripada penutupan sekolah secara berterusan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.