Oleh Syaza Wardina
15 Oktober 2021, 11:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Seluruh warga kerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merakamkan ucapan penghargaan atas segala jasa dan sumbangan yang dicurahkan oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran yang bersara wajib pada hari ini.

Dalam Majlis Pertemuan Ketua Pengarah Bersama-sama Warga DBP yang dilaksanakan secara hibrid pada pagi ini, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin berkata, “saya bermula dari bawah, iaitu sebagai Pembantu Penyelidik Gred B11, sebelum menjadi Pengarah hingga hari ini. Tidak kira apa-apa juga jawatan kita, antara perkara yang penting dalam pekerjaan ialah nilai kerjasama dan saling menyokong antara satu dengan lain.”

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin mendapat lantikan tetap di DBP bermula pada 1 November 1983 di DBP Cawangan Sarawak dan telah berkhidmat di DBP selama tempoh 37 tahun 11 bulan 15 hari. Sepanjang perkhidmatannya, beliau banyak mengutip pengalaman semasa bertugas di Bahagian Ensiklopedia (1995), Pejabat DBP Wilayah Timur (1999), Bahagian Penerbitan Sastera (2005), Bahagian Komunikasi Korporat (2005), Bahagian Pengembangan Sastera Pelbagai Kaum, Jabatan Sastera (2008), Bahagian Pengembangan Bahasa Pelbagai Kaum, Jabatan Bahasa (2009) dan Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum (2010).

Beliau juga pernah mengemudi Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera (2010) dan Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera (2016), serta menjadi Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP (2016), sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP pada tahun 2019.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin memotong kek bersempena dengan persaraan beliau dalam majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBhg. Haji Md. Johari Hasan.

Persaraan wajib beliau diadakan dalam majlis yang sederhana tetapi amat bermakna dengan penyesuaian mengikut suasana kebiasaan baharu yang turut diraikan oleh pengurusan tertinggi DBP dan seluruh warga kerja DBP.

Bersama-samalah berusaha mengekalkan DBP sebagai institusi yang penting, dan jadikan diri anda sebagai warga kerja yang penting buat DBP.

“Buat semua staf DBP, lakukan inovasi dan carilah sebanyak mungkin idea baharu,” demikian antara pesanan yang sempat dititipkan oleh Datuk Abang Sallehuddin kepada semua warga kerja DBP.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.