Oleh Ritah Yahaya
17 Oktober 2021, 20:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Labuan  Hari ini merupakan hari terakhir pemberian vaksin dos kedua kepada murid yang berumur antara 12 tahun hingga 15 tahun di Pusat Pemberian Vaksin Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lada.

Program Media Engagement, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia bersempena dengan Kempen Kembali ke Sekolah meninjau pemberian vaksin kepada murid yang berumur antara 12 tahun hingga 15 tahun dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Pusat Pemberian Vaksin SK Sungai Lada. Turut meninjau program pemberian vaksin di SK Sungai Lada ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yusuf Mohamad.

Yusuf Mohamad (kiri) memerhati murid yang diberi suntikan vaksin.

Berdasarkan PPN, aspek penting yang diberikan perhatian ialah keselamatan dan kesihatan warga sekolah dan persekitaran sekolah yang selamat. Vaksinasi merupakan cara terbaik untuk melindungi masyarakat daripada COVID-19. KPM melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan PPN berusaha memastikan agar seluruh warga sekolah, termasuklah guru dan murid menerima vaksin lengkap.

Murid yang diberikan keutamaan oleh Kerajaan Pusat dalam program vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin SK Sungai Lada menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech. Rata-rata murid menzahirkan kelegaan dan kegembiraan mereka menerima dos kedua vaksin sebagai persediaan kembali ke sekolah dengan kesihatan dan persekitaran yang selamat.

Alya Irdina A. Roslan

Murid tahun enam SK Sungai Lada, Alya Irdina A. Roslan, meluahkan kegembiraannya kerana berjaya melengkapkan suntikan dos kedua vaksin pada hari ini. Alya yang menerima suntikan vaksin dos pertama pada 17 September 2021 yang lalu turut menasihati rakan-rakannya yang belum menerima vaksin agar berbuat demikian demi keselamatan dan kesihatan semua.

Muhamad Zhafiy Izzfan Rafizal, 12 tahun, berasa tidak sabar untuk kembali semula ke sekolah setelah sekian lama sekolah ditutup. “Saya tidak sabar untuk bertemu dengan guru dan rakan-rakan saya di SK Sungai Lada untuk belajar seperti dahulu,” kata Zhafiy.

Keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan di Labuan dibuat oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin setelah Labuan menjadi satu-satunya wilayah negeri dan Persekutuan yang beralih ke Fasa Empat PPN.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari, program vaksinasi kepada murid sekolah di Labuan hampir selesai apabila lebih 68.25 peratus daripada 10 094 jumlah keseluruhan murid yang tersenarai (berumur antara 12 tahun hingga 17 tahun), berjaya melengkapkan dos kedua vaksin setakat semalam (16 Oktober 2021). Sebanyak 30 peratus orang murid yang berumur antara 12 tahun hingga 15 tahun dijangka melengkapkan dos kedua vaksin mereka pada hari ini, iaitu hari terakhir pemberian vaksin.

Sekitar PICK Remaja di SK Sungai Lada, Labuan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.