Oleh Syaza Wardina
17 Oktober 2021, 13:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu dari tarikh peralihan ke fasa tersebut.

Dalam satu kenyataan media pada hari ini, KPM berkata, “KPM merujuk pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia pada 15 Oktober 2021 berkaitan dengan peralihan fasa PPN bagi negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Wilayah Persekutuan Putrajaya, berkuat kuasa pada 18 Oktober 2021.”

“Sehubungan dengan itu, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Sabah terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri fasa dua PPN pada 18 Oktober 2021. Apabila negeri Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Sabah beralih ke fasa tiga pada 18 Oktober 2021, maka pengoperasian institusi pendidikan berdasarkan ketetapan fasa tiga bagi negeri Kedah dan Kelantan akan bermula pada 31 Oktober 2021. Bagi negeri Pulau Pinang, Perak dan Sabah, pengoperasian institusi pendidikan berdasarkan ketetapan Fasa 3 akan bermula pada 1 November 2021,” jelas KPM.

Pengoperasian fasa tiga PPN ini melibatkan murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi, tingkatan enam semester dua, Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma (IBD), serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level, Australia Higher School Certificate dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

Tambah KPM, “bagi negeri Melaka, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, pengoperasian institusi pendidikan di bawah KPM terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri fasa tiga PPN pada 18 Oktober 2021. Memandangkan negeri ini akan beralih ke fasa empat PPN bermula pada 18 Oktober 2021, pengoperasian institusi pendidikan di negeri berkenaan berdasarkan ketetapan fasa empat PPN hanya akan bermula pada 1 November 2021. Hal ini turut melibatkan kemasukan bagi murid tahap satu (tahun satu, dua dan tiga) sekolah rendah serta murid tingkatan tiga dan empat sekolah menengah.”

Dalam pada itu, KPM turut memaklumkan, “kehadiran murid tahap dua (tahun empat, lima dan enam) sekolah rendah dan kelas peralihan, serta tingkatan satu dan dua sekolah menengah bagi negeri Melaka, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Wilayah Persekutuan Putrajaya akan bermula pada 8 November 2021, iaitu seminggu selepas negeri tersebut memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan fasa empat PPN.”

Institusi pendidikan di bawah KPM turut merujuk institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan di bawah kerajaan negeri.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.