18 Oktober 2021, 16:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Yusuf Mohamad menyantuni murid yang hadir ke sekolah.

Labuan – Sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan yang berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menerima kehadiran murid Tahap 1 pada hari ini.

Wakil Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan turut serta dalam pemantauan pengoperasian pembukaan sekolah.

Hasil tinjauan  di Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, Labuan pada pagi tadi mendapati prosedur operasi standard (SOP) yang menjadi kewajipan dalam kebiasaan baharu pandemik COVID-19 dipatuhi dengan sebaiknya oleh pihak sekolah. Antara SOP yang ditetapkan termasuklah  penjarakan fizikal, penyediaan cecair pensanitasi dan alat pengimbas suhu.

Rata-rata murid yang hadir ke sekolah secara bersemuka pada hari ini kelihatan bersemangat dan gembira setelah hampir setahun mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ketibaan murid Tahap 1 ke Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, Labuan dengan penuh semangat dan iltizam.
Kedudukan murid di dalam kelas diatur secara berselang-seli.

“Saya sangat seronok apabila dapat berjumpa dengan kawan-kawan dan guru-guru,” kata Nur Arfa Aqilah, murid Tahun 2.

Ibu Nur Arfa, Jaifah Mohd. Jakri yakin dengan pembelajaran secara bersemuka, anaknya lebih mudah memahami dan dapat memberikan tumpuan yang lebih baik di dalam kelas.

“Rasa teruja apabila anak-anak sudah kembali ke sekolah. Namun begitu, sebagai seorang ibu, perasaan risau tetap ada kerana mereka bersekolah dalam keadaan persekitaran pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun, saya percaya bahawa pihak pengurusan sekolah sedaya upaya mematuhi SOP  untuk kebaikan semua murid,” kata Siti Soleha, yang anaknya berada di Tahun 2 di sekolah tersebut.

Muammar Hassan, bapa kepada Hana Insyirah, murid Tahun 1 pula menyatakan bahawa: “Kita sudah menuju era endemik COVID-19, sama ada mahu ataupun tidak kita perlu hidup dalam kebiasaan baharu. Guru sudah pun menerima vaksin, hal ini tidak akan menimbulkan permasalahan apabila pihak sekolah mengikut SOP seperti yang ditetapkan. Saya yakin, anak-anak kita akan belajar dalam persekitaran yang selamat.”

Mengulas lebih lanjut, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, Mohammad Farihi Abdul Halim menjelaskan bahawa pengoperasian semula sekolah bukan sahaja mendapat sambutan yang baik daripada murid bahkan dalam kalangan ibu bapa.

“Pembukaan sekolah ini selaras dengan ketetapan yang diumumkan oleh kerajaan tempoh hari yang memutuskan bahawa Labuan sebagai wilayah pertama  pembukaan sekolah di negeri Fasa 4 PPN,” ujar beliau.

Wawancara sidang editorial e-Dewan Masyarakat di Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, Labuan:
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.