24 Oktober 2021, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – “Negeri Johor dan Terengganu akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 25 Oktober 2021.” Pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 22 Oktober 2021 yang lalu membawa maksud bahawa institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi negeri tersebut mengikut ketetapan Fasa 4 PPN akan bermula pada 7 November 2021, iaitu selepas dua minggu dari tarikh peralihan ke fasa tersebut.

KPM dalam kenyataan medianya hari ini menyatakan bahawa institusi pendidikan bawah KPM bagi Johor dan Terengganu terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN pada 25 Oktober 2021. Pengoperasian ini melibatkan murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi, Tingkatan 6 Semester 2, prauniversiti  Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma (IBD), serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

Tambah KPM lagi,

Mulai 7 November 2021, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM di Johor dan Terengganu adalah mengikut ketetapan pengoperasian Fasa 4 PPN. Walau bagaimanapun, sekolah kerajaan bawah KPM di negeri tersebut hanya akan memulakan operasinya pada 8 November 2021 kerana pada 7 November 2021 merupakan cuti tambahan yang diperuntukkan dalam takwim KPM sempena perayaan Deepavali. Hal ini turut melibatkan kemasukan murid Tahap Satu (tahun 1, tahun 2 dan tahun 3) sekolah rendah serta murid tingkatan 3 dan tingkatan 4 bagi sekolah menengah. Sungguhpun demikian, institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM akan beroperasi mengikut takwim masing-masing.

 

Pengoperasian sekolah bagi murid Tahap Dua (tahun 4, tahun 5 dan tahun 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, tingkatan 1 dan tingkatan 2 sekolah menengah bagi Johor dan Terengganu pula akan bermula pada 14 November 2021, iaitu seminggu selepas negeri tersebut memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN.

KPM dalam kenyataan media ini turut merujuk institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat. KPM menyarankan ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuklah institusi pendidikan bawah kerajaan negeri. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.