2 November 2021, 13:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PANCHOR – Pihak sekolah dinasihatkan agar memberi kelonggaran kepada pelajar untuk tidak berpakaian seragam apabila hadir ke sekolah. Sebaliknya, memadai dengan berpakaian kemas dan sopan.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd. Radzi Md. Jidin, pihak sekolah sudah dimaklumkan tentang perkara tersebut, namun masih terdapat segelintir guru yang menetapkan syarat agar pelajar wajib memakai pakaian seragam dengan lengkap apabila hadir ke sekolah.

Justeru saya ingin menegaskan bahawa bagi tempoh hingga akhir tahun ini, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan para pelajar memakai sebarang pakaian yang bersesuaian, sopan dan kemas,” kata Datuk Mohd. Radzi selepas melakukan pemantauan persiapan pembukaan sekolah di Sekolah Kebangsaan Semaseh, Panchor, Johor.

Tambah beliau lagi, pihak sekolah seharusnya memudahkan urusan kehadiran pelajar ke sekolah berikutan kekangan yang dihadapi golongan ibu bapa akibat kesan pandemik COVID-19 yang melanda, terutamanya keluarga yang kurang berkemampuan.

Selain itu, Datuk Mohd. Radzi turut menyarankan agar semua sekolah di negeri yang akan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi perhatian khusus terhadap aspek pengudaraan di dalam bilik guru dan bilik darjah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd. Radzi Md. Jidin (kanan) mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan Semaseh, Panchor, Johor hari ini.

Dalam perkembangan yang lain, Datuk Mohd. Radzi berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah selesai melengkapkan pemilihan dan pengambilan guru secara sekali beri untuk Fasa 1 bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru.

Menurut Datuk Mohd. Radzi, kriteria pemilihan dan pengambilan guru berdasarkan latar belakang calon yang mahir mengajar subjek penting di sekolah serta calon yang mempunyai latar belakang dalam pengajian pendidikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.