Oleh Syaza Wardina
9 November 2021, 10:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya ‒ Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan kehadiran murid di negeri yang baru beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), iaitu Kedah, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah pada 21 dan 22 November akan datang tidak dilaksanakan secara berperingkat, namun masih mengekalkan kaedah penggiliran.

Menurut KPM, “Keputusan ini diambil kira berdasarkan pemantauan dan penelitian KPM terhadap keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka semenjak 3 Oktober 2021 lalu.”

Dapatan daripada pemantauan dan penelitian menunjukkan bahawa pengoperasian sekolah berjalan dengan lancar dan teratur mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

Sebelum ini, KPM memaklumkan bahawa kemasukan murid tahun satu hingga enam di sekolah rendah serta kelas peralihan dan tingkatan satu hingga empat di sekolah menengah adalah pada 21 November 2021 bagi negeri Kedah dan 22 November 2021 bagi negeri Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah.

KPM turut memaklumkan, “Kehadiran murid dalam kumpulan tersebut di sekolah harian adalah mengikut kaedah penggiliran, manakala kehadiran murid di sekolah asrama sepenuhnya adalah tanpa penggiliran.”

“Perincian mengenai kemasukan murid sekolah asrama sepenuhnya akan dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa dan penjaga,” jelas KPM.

KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi