Oleh Norimanah Seman
15 November 2021, 15:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bumi akan menjadi planet asing bagi manusia menjelang 2500. Pemanasan global akan menjadikan Amazon sebagai gurun tandus, Barat Tengah Amerika dan India menjadi tempat paling panas di dunia untuk didiami.

Ini antara hasil kajian Dr. Christopher Lyon, penyelidik di McGill University yang diterbitkan oleh Global Change Biology mengenai penyelidikan dan tindakan perubahan iklim perlu menjangkau penanda aras 2100.

Cuba bayangkan keadaan bumi yang perlu dihadapi anak-anak dan cucu kita jika matlamat Perjanjian Paris (mengehadkan peningkatan suhu dunia berada di bawah paras dua darjah Celsius) gagal dicapai dan pelepasan gas rumah hijau semakin meningkat. Pastinya banyak tempat di muka bumi akan mengalami perubahan drastik. Kawasan yang kaya dengan ekosistem, tanah pertanian subur dan hutan menjadi padang tandus berpunca daripada kenaikan suhu yang tidak terkawal. Peningkatan suhu global menyebabkan kepanasan mencapai tahap yang boleh membunuh kehidupan di kawasan tropika yang paling banyak didiami manusia.

Perubahan iklim mencipta pelbagai risiko kepada kehidupan manusia termasuk bekalan sumber makanan. Beban peningkatan suhu dan kepanasan amat berat bagi negara miskin terutamanya dari aspek kesihatan penduduk dan bekalan makanan. Menurut kajian yang dijalankan di Afghanistan, Bangladesh, Bhutan, India, Myanmar, Nepal, dan Pakistan pada bulan Jun 2020, kepanasan ekstrem akan memberikan kesan negatif pada badan manusia seperti gangguan sistem pernafasan dan kardiovaskular. Lebih membimbangkan lagi, kepanasan melampau jauh lebih berbahaya berbanding dengan kanser dan penyakit jantung yang amat digeruni.

Pun begitu, kesan yang paling ketara daripada pemanasan global dan perubahan iklim ialah simpanan bekalan makanan. Kepanasan melampau menyebabkan tanah subur menjadi tandus, tanaman makanan musnah sedangkan saban tahun populasi dunia meningkat dan dijangkakan menjelang tahun 2050 akan mencapai 10 bilion. Sementara itu, sebahagian besar penduduk di seluruh dunia sedang berdepan dengan masalah kekurangan zat makanan dan kebuluran. Bagi mengatasi masalah tersebut, satu sistem makanan cekap dan lestari perlu diwujudkan.

Pengurusan sistem makanan adalah penting kerana mempengaruhi tahap kesihatan manusia dan menyokong kelestarian alam sekitar. Membekalkan populasi dunia yang semakin meningkat dengan diet sihat daripada sistem makanan lestari merupakan suatu cabaran besar. Tidak dinafikan bahawa pengeluaran makanan dunia mampu memenuhi tuntutan kalori yang diperlukan populasi dunia. Pun begitu, hal ini sekadar memenuhi tuntutan pengambilan kalori, bukan menepati diet sihat. Oleh sebab itu, 820 juta penduduk dunia mengalami kekurangan zat makanan dan terpaksa mengamalkan diet berkualiti rendah. Hal inilah yang menjadi penyebab penyakit yang berkaitan diet seperti obesiti, penyakit koronari jantung, strok dan diabetes. Sudah sampai masanya tindakan segera perlu diambil untuk mengubah sistem makanan global.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan bahawa salah satu cabang penghasilan makanan dunia seharusnya daripada air. Gesaan itu dibuat dalam UN Summit of Food Systems yang bersidang secara maya di New York pada 23 September 2021. Transformasi sistem makanan yang sedang diusahakan ialah makanan biru bagi menyelamatkan bumi dan penyelesaian kepada masalah kebuluran dan kekurangan zat makanan.

Adakah transformasi makanan biru mampu menjadi penyelamat planet bumi dan menghilangkan kelaparan? Itulah masalah yang amat menyesakkan fikiran saintis apabila berhadapan dengan perubahan iklim. Bagaimanakah makanan biru boleh mengenyangkan perut, melengkapkan nutrisi yang seimbang dalam tubuh manusia dan menyelamatkan bumi pada masa yang sama?

Peningkatan suhu bumi mengakibatkan pelbagai malapetaka kepada kehidupan marin, migrasi spesies haiwan yang semakin bercelaru, hasil laut berkurangan dan peningkatan keasidan air laut. Hidupan air tawar juga tidak terkecuali kerana pemanasan global menyebabkan kemarau berpanjangan. Di bawah pengaruh perubahan iklim, pengeluaran makanan biru tidak dapat menyumbang kepada ekonomi dan sebagai bekalan makanan kepada penduduk dunia.

Itulah antara persoalan menjadi tumpuan dalam kajian terbaru Blue Food Assessment (BFA) yang menggabungkan lebih 100 saintis dari 25 institusi yang diketuai oleh Stockholm Resilience Centre di Universiti Stockholm University serta Universiti Stanford. Lima laporan penyelidikan memberikan tumpuan khusus tentang makanan biru yang akan menyeimbangkan makanan hijau pada masa depan.

Makanan biru yang menjadi tumpuan termasuklah semua hidupan air sama ada laut, sungai mahupun kolam seperti ikan, haiwan bercangkerang dan alga. Makanan hijau yang dimaksudkan pula ialah makanan yang dihasilkan di daratan termasuk dari sumber pertanian dan penternakan.

Lima penyelidikan itu menumpukan kepada keupayaan makanan akuatik dalam dekad akan datang untuk menangani malnutrisi, mengurangkan kesan alam sekitar yang berpunca daripada sistem pengeluaran makanan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Ikan sebagai Penyelesai Masalah

Pengurangan kebergantungan terhadap pertanian dan penternakan untuk membekalkan sumber makanan? Setelah sekian lama kebergantungan penduduk dunia kepada dua sektor itu, kesannya kepada alam sekitar mula dikesan. Pertumbuhan pesat industri pengeluaran makanan dikesan sebagai penyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau yang menjadi salah satu penyebab perubahan iklim. Kajian mengenai pelepasan gas rumah hijau yang dijalankan dari tahun 1990 hingga tahun 2015 mendapati 34 peratus punca pelepasan gas rumah hijau adalah sistem makanan.

Meskipun industri pengeluaran makanan begitu pesat, namun masih ada populasi dunia mengalami masalah malnutrisi dan obesiti. Berdasarkan kajian Combined Climate and Nutritional Performance of Seafoods yang terbit pada tahun 2019 dalam Jurnal of Cleaner Production, terdapat spesies makanan laut yang dapat menyelesaikan masalah malnutrisi dan obesiti di samping mengurangkan kesan perubahan iklim. Misalnya ikan hering dan makerel dikatakan dapat menyelesaikan masalah malnutrisi dan obesiti sekali gus mengurangkan kesan perubahan iklim.

Ikan hering dikatakan dapat mengatasi masalah mulnutrisi.

Terdapat juga makanan biru yang memberikan kesan besar terhadap iklim berbanding dengan nutrisi yang dibekalkan seperti udang, ikan patin dan ikan plak. Pun begitu, makanan biru masih lagi terbaik dalam membekalkan nutrisi dan menjaga kelestarian alam sekitar berbanding dengan ayam, lembu, kambing atau khinzir.

Berbanding ayam, ikan trout mengandungi 19 kali ganda lebih banyak asid lemak omega 3; tiram dan kupang mempunyai 76 kali ganda lebih kandungan vitamin B-12 dan lima kali ganda zat besi. Cuma, masalah paling besar adalah harga makanan biru terlalu tinggi berbanding makanan hijau. Hal ini menjadi kekangan bagi penduduk dunia yang miskin. Masalah lain yang mungkin akan timbul ialah penangkapan ikan tanpa had dan kawalan hingga mengakibatkan ekosistem laut terancam.

Sistem Pengurusan Mampan

Tanpa pengurusan mampan, industri perikanan akan terjejas, spesies ikan berkurangan dan krisis makanan semakin memburuk. Masalah utama yang dihadapi dunia ketika ini ialah pengurusan perikanan yang buruk yang menjadi asbab hasil tangkapan berkurangan. Kajian ini diharap dapat mewujudkan satu polisi yang kukuh untuk menyeimbangkan antara populasi hidupan biru dan transformasi makanan biru bagi mengatasi malnutrisi.

Negara seperti Denmark, Namibia, Amerika Syarikat, Mexico sudah memiliki sistem pengurusan perikanan mampan yang mampu mencipta persekitaran laut sihat dan menambah populasi ikan. Negara tersebut berjaya menambah hasil tangkapan dan dapat membekalkan lebih banyak makanan biru kepada penduduk dunia serta memperbaiki taraf hidup.

Kajian tentang revolusi makanan biru menangani perubahan iklim dan malnutrisi diterbitkan dalam jurnal Nature. Setiap makanan yang dipilih harus ada pertimbangan sama ada memberikan kesan kepada alam sekitar atau tidak. Dengan pertambahan populasi global mencecah 10 bilion menjelang 2050, maka bekalan makanan biru harus ditingkatkan dua kali ganda. Pergantungan kepada penangkapan ikan di laut sahaja tidak dapat memenuhi permintaan tersebut.

Bagi meningkatkan pengeluaran makanan biru, pelaburan inovasi dan memperbaiki pengurusan perikanan mampu menyelamatkan penduduk dunia daripada kelaparan. Sebagai contoh, peningkatan penawaran sebanyak 15.5 juta tan menyebabkan harga jatuh. Hal ini dapat mengurangkan masalah malnutrisi yang dihadapi oleh 166 juta penduduk dunia terutamanya yang berpendapatan rendah.

Bagi ahli ekologi marin di UC Santa Barbara’s Bren School of Environmental Science and Management, Ben Halpern, kajian tersebut adalah yang pertama pernah dijalankan untuk melihat betapa besarnya peranan produksi makanan akuatik kepada kesihatan manusia secara global. Yang membuat saintis begitu teruja apabila mengetahui bahawa makanan akuatik ialah penyelesaian terbaik mengatasi masalah malnutrisi. Satu lagi usaha yang sedang diperjuangkan oleh saintis adalah untuk menjadikan makanan biru memiliki harga lebih rendah daripada makanan hijau seperti ayam, lembu dan produk tenusu.

Makanan akuatik ialah penyelesaian terbaik mengatasi masalah malnutrisi.

Secara umumnya, spesies akuakultur seperti tilapia, salmon, keli dan kap memberikan kesan kepada alam sekitar setanding ayam. Manakala spesies ikan kecil seperti sardin, ikan bilis, haiwan bercangkerang dan rumpai laut adalah paling baik kerana tekanannya kepada alam sekitar paling minimum berbanding ayam. Hal ini bermakna kepelbagaian sumber makanan dapat meningkatkan simpanan makanan dunia dan membantu petani berhadapan dengan risiko pemanasan global. Memilih makanan biru sebagai diet global menggantikan makanan hijau membawa dua keberuntungan, iaitu kesihatan manusia dan bumi terpelihara.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi