18 November 2021, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhasrat untuk melahirkan bakat dan profesional terlatih dengan meningkatkan kemahiran pelajar dan guru Kolej Vokasional berdasarkan keperluan, piawaian dan akreditasi industri selaras dengan Transformasi Pendidikan Vokasional (VET) serta perkongsian sumber dan kepakaran industri. VET yang dilaksanakan pada tahun 2012, merupakan satu daripada 25 inisiatif yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020).

VET memberikan tumpuan dalam menyediakan akses kepada pendidikan dan latihan vokasional teknikal (TVET) berkualiti pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta mempromosikan peluang pembelajaran sepanjang hayat. Oleh itu, KPM sekali lagi mendapat peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2022, iaitu sebanyak RM52.6 bilion atau 16 peratus. Sebahagian daripada peruntukan itu akan digunakan dalam menambah baik ekosistem TVET untuk melahirkan bakat yang sedia ada pada masa hadapan yang dapat memenuhi permintaan industri pada peringkat tempatan dan global.

Dalam ucapan YB Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon, Timbalan Menteri Pendidikan I, beliau menjelaskan bahawa sebelum ini rakyat Malaysia mungkin mempunyai persepsi yang kurang tepat tentang TVET. Mereka beranggapan bahawa hanya golongan yang tidak berminat dalam pendidikan formal akan mengambil TVET dan berakhir dengan masa depan yang suram berbanding dengan menyambung pelajaran dalam bidang profesional seperti doktor, akauntan atau peguam. Walau bagaimanapun, menurut beliau, masa kini telah berubah. Dengan kebangkitan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), dunia amat memerlukan kemahiran berteknologi tinggi dalam bidang teknikal.

“Sebagai contoh, di negara maju tertentu seperti Jerman, TVET telah pun diintegrasikan ke dalam pendidikan arus perdana sehingga 70 peratus pelajar Jerman berkelulusan dalam TVET. Di Singapura pula, sebanyak 60 peratus pelajar memilih untuk belajar di kolej TVET,” ujar beliau dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPM dengan Perbadanan Top Glove.

YB Senator Dr. Mah Hang Soon turut berpandangan bahawa jika Malaysia berhasrat untuk menjadi sebuah negara maju berteraskan perindustrian sepenuhnya, TVET seharusnya menjadi trend umum pada masa hadapan. Sebelum ini, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah menerima pakai beberapa langkah untuk memperkukuh TVET termasuklah menambah baik ekosistem dan meningkatkan kursus melalui pensijilan kemahiran. Selain itu, KPM turut mengalu-alukan usaha untuk meningkatkan kualiti, pengiktirafan dan pensijilan institusi antarabangsa serta pelancaran sistem pemarkahan untuk institusi pendidikan TVET.

YB Senator Dr. Mah Hang Soon turut berkata, usaha ini merupakan hala tuju yang sewajarnya untuk Malaysia menuju ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi. Sementara itu, KPM juga menggalakkan penggiat industri untuk bekerjasama dengan Bahagian TVET KPM untuk meningkatkan program TVET bagi memastikan graduan Kolej Vokasional mempunyai kemahiran kebolehpasaran yang diperlukan.

Sebagai contoh, pada 11 November lalu, sebuah MoU telah ditandatangani antara TWI Malaysia Sdn. Bhd. dengan Bahagian TVET KPM. Melalui kerjasama ini, TWI Malaysia komited untuk menyokong Bahagian TVET untuk menubuhkan Pusat Kolej Vokasional Cemerlang serta Skim Persijilan Personel Pemeriksaan Kimpalan (CSWIP) untuk kimpalan dan sukatan pelajaran CSWIP 3.0 untuk semua pelajar di 52 buah Kolej Vokasional di seluruh negara di samping memberikan tumpuan kepada misi untuk membekalkan pekerja terlatih dan mahir, membangunkan pakar industri generasi akan datang dan menawarkan peluang pertumbuhan kerjaya untuk belia. Pada masa ini, terdapat sebanyak 87 kolej TVET di seluruh negara yang berada di bawah bidang kuasa KPM. Kolej-kolej ini menawarkan sijil TVET dan program diploma, iaitu Diploma Vokasional Malaysia, Sijil Vokasional Malaysia dan Sijil Kemahiran Malaysia.

KPM menyasarkan sebanyak 70 peratus graduan memulakan pekerjaan sebagai pekerja mahir dalam industri yang berkaitan, sebanyak 20 peratus untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi dan sebanyak 10 peratus melibatkan diri sebagai usahawan muda.

Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa setakat 31 Oktober 2021, sebanyak 98.29 peratus graduan Kolej Vokasional sama ada bekerja, melanjutkan pengajian tinggi atau telah menjadi usahawan muda, menurut Kajian Pengesanan Siswazah TVET.

Kerajaan sedang memberikan tumpuan untuk menambah baik sistem pendidikan negara dalam tempoh lima tahun akan datang. Dengan tumpuan untuk menaik taraf TVET, kami percaya langkah ini akan membantu memupuk lebih banyak bakat selaras dengan kebangkitan IR 4.0. Dengan lebih ramai bakat profesional terlatih secara teknikal, langkah Malaysia ke arah menjadi sebuah negara perindustrian, maju dan berpendapatan tinggi sepenuhnya dapat menjadi kenyataan.

Memandangkan Top Glove sebagai pengeluar sarung tangan terbesar di dunia, kerajaan menjangkakan sejumlah besar bakat muda akan melibatkan diri dalam industri yang akan melatih mereka untuk menjadi berdaya saing, cekap dan berkemahiran tinggi. Perkongsian sektor awam dengan pihak swasta selama lima tahun, iaitu antara KPM dengan Top Glove dijangka dapat meningkatkan sektor TVET di Malaysia.
“Bagi pihak KPM, saya mengucapkan tahniah kepada Top Glove kerana mengambil langkah positif dan Penandatanganan MoU pada hari ini akan membuka jalan kepada kerjasama yang lebih baik antara kerajaan dengan sektor swasta ,” akhiri YB Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi