26 November 2021, 21:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Terbitan buku biografi bergambar Abah Teguh Kita Bersama menonjolkan personaliti beliau sebagai seorang suami, ayah, ahli politik, wakil rakyat, menteri dan sebagai Perdana Menteri.

Kuala Lumpur – Kisah perjalanan politik YB Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan merupakan episod yang paling sukar dalam sejarah kepimpinan negara tatkala menghadapi cabaran krisis kesihatan, ekonomi dan tekanan politik.

Dengan panggilan mesra “Abah” sepanjang kepimpinannya, Zumail Global Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka (GMM) telah menerbitkan buku berjudul Abah Teguh Kita Bersama berkonsepkan biografi bergambar sebanyak 370 foto yang mengisahkan kronologi, perjalanan hidup dan strategi YB Tan Sri Muhyiddin sepanjang tujuh dekad kepimpinannya dalam pentadbiran kerajaan.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita, malah sejarah dunia sekali pun terjadi suatu krisis yang mengancam nyawa dan kehidupan rakyat pada skala yang besar dan berlarutan dalam suatu tempoh yang panjang.

“Menjadi Perdana Menteri dalam tempoh pandemik merupakan suatu episod yang paling sukar dalam sejarah politik saya,” kata mantan Perdana Menteri Malaysia, YB Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin ketika majlis pelancaran buku di Hotel InterContinental Kuala Lumpur petang tadi.

Dalam ucapan perasmian yang disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Batu Pahat, beliau mengatakan bahawa buku ini merupakan simbol penghargaan kepada YB Tan Sri Muhyiddin yang telah melaksanakan amanah dengan baik untuk mengimbangi kepentingan antara pembangunan ekonomi negara dengan kesihatan, serta membela nasib rakyat.

“Selama 18 tahun bulan berjuang  berlawan dengan pandemik COVID-19, harus diakui bahawa banyak usaha dan inisiatif yang telah dilakukan oleh YB Tan Sri Muhyiddin. Usaha Abah meliputi semua peringkat, individu, tua, muda, keluarga, sektor perniagaan kecil dan sederhana dan banyak lagi,” ujar beliau.

Terdahulu, Mazura Abdul Aziz, Pengarah Urusan Zumail Global Sdn. Bhd. mengatakan bahawa setiap pemimpin mempunyai kelebihan dan kekuatan yang tersendiri. Dalam aspek ini, YB Tan Sri Muhyiddin berjaya memperlihatkan kekuatan tersendiri dengan menawan jutaan rakyat Malaysia.

“Ramai yang mengatakan beliau seorang yang serius. Apabila kami menghimpunkan foto yang boleh mencerminkan tajuk buku ini, dengan sendirinya menunjukkan bahawa abah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat,” kata Mazura yang memutuskan untuk menghasilkan buku ini dengan hasrat menjadi satu koleksi yang bernilai untuk menggambarkan sifat pemimpin sejati.

Sementara itu, YB Datuk Dr. Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komodoti merangkap penaung GMM berkata: “Sebelum ini kita hanya mendengar dan membaca perjalanan hidup YB Tan Sri Muhyiddin dari sudut politik semata-mata, namun kandungan buku ini menonjolkan personaliti beliau sebagai seorang suami, ayah, ahli politik, wakil rakyat, menteri dan sebagai Perdana Menteri.”

Ujar YB Datuk Dr. Zuraida lagi, beliau menganggap YB Tan Sri Muhyiddin ialah father of circumstances kerana perwatakannya yang sangat tenang dan bijak dalam mengawal keadaan walaupun cabaran besar datang melanda.

 

Seisi keluarga YB Tan Sri Muhyiddin turut serta dalam majlis pelancaran buku ini.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.