29 November 2021, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YBhg. Datuk Abang Salehuddin Abg Shokeran yang dilantik semula secara kontrak selama satu tahun sebagai Ketua Pengarah DBP berkuat kuasa pada hari ini. Beliau yang bersara wajib pada 15 Oktober lalu dengan perkhidmatan selama lebih 37 tahun pernah menjawat pelbagai jawatan penting sepanjang berkhidmat di DBP.

YBhg. Datuk Abang Salehuddin memulakan kerjaya di DBP dengan dilantik secara tetap pada 1 November 1983 di DBP Cawangan Sarawak. Sepanjang menyumbang bakti di DBP, beliau telah menyandang beberapa jawatan penting, antaranya termasuklah sebagai Pengarah DBP Wilayah Timur, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, serta menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP pada 10 Januari 2019 dengan perakuan Lembaga Pengelola DBP, kelulusan YB Menteri Pendidikan dan persetujuan Perdana Menteri pada ketika itu.

YBhg. Datuk Abang Salehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah DBP komited dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera menerusi digital.

YBhg. Datuk Abang Salehuddin dikenali sebagai Ketua Pengarah yang giat memperkenalkan usaha pendigitalan secara menyeluruh bagi melonjakkan kualiti penerbitan DBP sebaik-baik sahaja beliau terpilih mengisi jawatan itu. Hasrat beliau tersebut diteruskan sehingga lahirnya portal digital JendelaDBP yang menempatkan kandungan digital DBP di bawah ‘satu bumbung’ seperti berita dan artikel dalam bentuk kandungan baharu, 11 majalah digital DBP, buku digital termasuklah buku digital interaktif, rancangan radio dan televisyen penstriman serta produk penerbitan, iaitu buku dan majalah yang diboleh diakses dan dibeli menerusi ruangan ‘Ujana’ yang kini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada khalayak.

Platform digital dibangunkan seiring dengan fungsi DBP yang memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu ke tahap yang lebih tinggi.

Inisiatif beliau bersama-sama pasukan pengurusan tertinggi DBP itu juga dilakukan bagi memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu ke tahap yang lebih tinggi. Beliau sering menyatakan bahawa seiring dengan kemajuan bidang teknologi digital dan penggunaannya yang meluas khususnya dalam kalangan generasi muda, DBP perlu sentiasa berevolusi dan melakukan anjakan paradigma supaya semua perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi kehendak masyarakat, lebih-lebih lagi DBP merupakan institusi ilmu yang telah bertapak kukuh sejak sekian lama. Menurut beliau dalam ucapan majlis  Inovasi DBP pada Oktober yang lalu:

Kita sudah memperkenalkan banyak sistem kerja yang menggunakan aplikasi-aplikasi terbaharu yang membantu mempercepat kaedah dan cara bekerja, misalnya dalam sistem kewangan dan kaedah penyampaian untuk membantu masyarakat memahami hal yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu.

Melewati situasi pada ketika ini yang menuntut lebih banyak perkhidmatan dilakukan secara dalam talian berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, beliau menggalakkan seluruh pegawai DBP mengorak langkah dan bersedia dengan kemahiran dalam teknologi digital agar perkhidmatan dan bahan penerbitan dalam talian dapat berjalan lancar dan berkualiti. Dalam hal ini, beliau juga amat menitikberatkan aspek peremajaan DBP untuk mempersegarkan keadaan dan memikirkan kaedah kerja yang lain daripada yang lain.

Dengan pelantikan semula beliau sebagai Ketua Pengarah, usaha untuk menjadikan bahasa  Melayu sebagai bahasa ekonomi seperti yang terdapat dalam Pelan Strategik DBP (2021-2025) diharapkan dapat mencapai matlamatnya, selaras dengan saranan Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin yang berhasrat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa ilmu. Melalui pelantikan baharu ini, beliau beriltizam untuk memberikan fokus terhadap penerbitan melalui pendigitalan buku-buku terbitan DBP bermula daripada penerbitan buku Anak Raja Anak Papa sehingga kini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.