2 Disember 2021, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan agar semua pihak berhenti daripada melakukan aktiviti yang mengancam kesejahteraan sosial masyarakat. Pertelagahan mahupun pertelingkahan yang dapat meruntuhkan benteng perpaduan masyarakat, termasuklah media sosial perlu dihentikan sepenuhnya.

Kita perlulah memainkan peranan dalam pembangunan semula ekonomi negara dan perlu untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Menurut baginda, ilmu dan pengetahuan amat penting dalam kehidupan lebih-lebih lagi untuk keluar daripada kemelut yang datang menimpa. Setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan penting untuk bersama-sama memutuskan rantaian pandemik COVID-19 ini.

Demikian titah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ketika berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan di Balai Menghadap Hijau Istana Arau pada pagi tadi.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis.

DYMM Tuanku Syed Sirajuddin juga berharap agar para ilmuwan dalam pelbagai bidang kepakaran dapat bersatu tenaga dan fikiran membantu negara dan masyarakat.

Keutamaan mestilah diberikan sepenuhnya kepada pembangunan masyarakat dan negara.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin bersama-sama Datuk Wira Lee Chong Wei ketika Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Ke-58, USM.

Antara Penerima Ijazah Kehormat, Gelaran Profesor Emeritus dan Emerita serta Pemenang Pingat Emas Canselor kali ini daripada baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor USM ialah Dr. David Lacey (Ijazah Kehormat Doktor Sains), Datuk Wira Lee Chong Wei (ljazah Kehormat Doktor Sains Sukan), Datuk Dr. Asma Ismail FASC. (Anugerah Profesor Emerita), Dr. Zahri Ismail – tanpa hadir – (Anugerah Profesor Emeritus) dan Khaw Teng Kang (Hadiah Pingat Emas Canselor).

Turut hadir bersama-sama dalam majlis tersebut ialah Pro-Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan, Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.