14 Disember 2021, 16:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Krisis hilang minat membaca terutamanya dalam kalangan warga muda merupakan krisis yang wajar dibimbangkan oleh semua pihak. Hilang minat membaca bukan suatu hal yang remeh, namun krisis sebegini mampu menjadi titik awal kemunduran bangsa. Pandang kembali ke belakang dan lihatlah bagaimana proses janaan ilmu ahli falsafah silam yang berhasil mencorakkan idea buat generasi yang seterusnya. Sulaman antara pengalaman, pemikiran, pembacaan dan penulisan memastikan alur ilmu berterusan tersalir ke dalam ufuk pemikiran masyarakat, lantas memunculkan idea-idea baharu. Simbiosis antara membaca dengan menulis memunculkan sebuah sistem pengembangan ilmu dalam melahirkan peradaban dan ketamadunan.

Jika diamati secara konsisten, budaya membaca di Malaysia boleh dikatakan berada pada keadaan yang tidak kondusif. Apakah indikatornya? Merujuk pada data yang dikeluarkan oleh World’s Most Literate Nations (WMLN) 2016, Malaysia disenaraikan pada kedudukan ke 53 daripada 61 negara.

(Sumber: PBelantara)

Hal ini bermakna, Malaysia merupakan negara kelapan terendah minat membacanya. Manakala, data dari World Culture Score Index pada tahun 2017 pula mendapati masyarakat Malaysia hanya memperuntukkan waktu membaca kurang daripada lima jam seminggu. Hal ini jauh bezanya jika dibandingkan dengan negara pada kedudukan pertama, India dengan 10 jam seminggu.

Maka itu, bukanlah kejanggalan apabila sesetengah ruangan komen di media sosial kerap dihiasi oleh frasa “panjang sangat, baik lukis sahaja” berkaitan dengan penulisan yang panjang lebar. Frasa ini kemudian dinormalisasikan sebagai suatu frasa yang kononnya kelakar, seolah-olah menjadi sesuatu yang dibanggakan jika tidak membaca. Samalah juga halnya bagi satu artikel lima minit yang hanya dibaca judulnya lalu dibuat kesimpulan yang membabi buta. Bayangkan, penulisan ringkas yang memerlukan kurang lima minit pun masih ada yang gagal menyelesaikannya, apatah lagi jika buku tersebut setebal 30 halaman? Trajektori ini cukup jelas untuk menggambarkan krisis kecintaan ilmu oleh sebilangan masyarakat.

Perkembangan ini merupakan satu hal yang tidak sihat — sama ada dalam konteks pembangunan bangsa mahupun proses pengembangan ilmu. Himpunan masyarakat yang tidak membaca merencatkan percambahan minda, lalu mewujudkan sebuah masyarakat mundur.

“Penyakit” ini memunculkan sebuah ‘hegemoni’ (kuasa dominasi) kemunduran pemikiran yang kemudian menjangkiti keseluruhan masyarakat. Apabila majoriti dijangkiti, inilah dinamakan sebagai “hegemoni dangkal” yang menjadi cabaran bagi golongan inteligensia dalam menjajarkan kembali kemunduran pemikiran.

Hal ini disebabkan oleh terbentuknya sebuah keutuhan “benteng kejumudan” berbanding dengan kuasa penembusan intelektual. Ketidakupayaan untuk memperbetulkan keadaan akhirnya menyebabkan kita dan generasi yang seterusnya disosialisasikan oleh “hegemoni dangkal” ini.

Membaca kedengarannya agak remeh, tetapi jika gagal melaksanakannya menyebabkan lahirnya generasi yang lemah daya keintelektualannya. “Hegemoni dangkal” ini termasuklah memunculkan majoriti masyarakat yang gagal menganalisis fenomena secara objektif, gagal memunculkan idea baharu yang segar, penerimaan yang lemah terhadap perbezaan, penutupan minda secara optimum, mudah dipengaruhi, dan lemas dalam kitaran sentimen. Kelemahan daya intelektual ini menyebabkan masyarakat berisiko menjadi medium kawalan dan medium kepenggunaan melalui alat hegemoni supratruktur seperti yang digariskan oleh ahli falsafah Itali, Antonio Gramsci (lihat teori hegemoni untuk pembacaan lanjut).

Perlu diakui, bangsa membaca merupakan bangsa yang berjaya. Kerajaan perlu memikirkan strategi ampuh untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat. Hal ini turut menjadi isu nasional yang berkaitan dengan  masa depan bangsa dan negara. Generasi Z merupakan generasi yang benar-benar terancam. Kebanyakan ibu bapa kini kelihatannya terlalu memanjakan anak-anak dengan peranti seawal usia setahun jagung semata-mata untuk “memudahkan” kerja. Dilengkapi peranti tersebut dengan berbagai-bagai aplikasi menarik, buku dan medium bacaan bukan lagi satu tarikan jika dibandingkan dengan permainan video. Apakah perkembangan ini berisiko melahirkan generasi bangsa Malaysia yang mundur? Strategi hari inilah yang bakal menentukannya.


Penulis, Pensyarah di Centre for Languages and Foundation Studies (CELFOS), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi