14 Disember 2021, 16:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wabak koronavirus (COVID-19) yang menyerang seluruh dunia pada penghujung tahun 2019 dilihat telah melumpuhkan kesemua aktiviti di seluruh dunia, khususnya sektor ekonomi.

Tidak terkecuali bagi Malaysia yang mempunyai persekitaran ekonomi yang kurang memberangsangkan pada tahun 2020 memberikan kesan kepada kedudukan pasaran buruh, seterusnya menyebabkan lambakan siswazah meningkat dengan ketara.

Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2019, didapati bahawa graduan siswazah tempatan meningkat sebanyak 5.29 juta atau 6.9 peratus lebih tinggi berbanding dengan 4.94 juta pada tahun 2018. Peratusan graduan siswazah dalam tenaga buruh turut meningkat 6.8 peratus daripada 4.14 hingga 4.42 juta orang pada tahun 2018 hingga 2019. Kadar penyertaan tenaga buruh graduan siswazah pada tahun 2019 pula dilihat menurun sebanyak 0.1 peratus, iaitu daripada 83.6 peratus kepada 83.5 peratus.

Pada tahun yang sama (2019), seramai 170 300 orang penganggur graduan siswazah dicatatkan dan jumlah ini dilaporkan meningkat sebanyak 5.5 peratus berbanding dengan tahun 2018, iaitu sebanyak 161 300. Sementara itu, menurut laporan kajian Institute of Student Employers (ISE), tahap pengambilan pekerja atau pasaran buruh graduan dan pelajar latihan atau penempatan Malaysia menurun 15 peratus kepada 29 peratus tahun lalu.

Rentetan itu, dijangkakan angka penurunan ini akan berlanjutan sehingga tahun ini dengan lebih daripada 30 peratus penurunan mungkin terjadi, khususnya bagi pekerjaan graduan siswazah. Trend penurunan yang berlaku pada tahun 2019 menyaksikan berlakunya lambakan graduan di pasaran tenaga buruh dan hal ini dilihat semakin kritikal. Pada masa yang sama, sebanyak 85 program akademik di 20 universiti awam seluruh negara telah dilupuskan pada tahun lalu.

Hari ini dengan impak Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan pandemik COVID-19 yang berlarutan, menyebabkan ramai siswazah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bukan sahaja menjadi penganggur, malah terpaksa mencari pekerjaan di luar bidang pengajian masing-masing.

Hal ini disokong dengan kenyataan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Datuk Dr. Husaini Omar, program-program akademik yang dilupuskan dilihat tidak lagi relevan dengan industri semasa dan digantikan dengan program baharu.

Untuk program sedia ada, sekiranya tidak dilupuskan, hal ini perlu digantikan dengan mod penawaran yang berbeza atau digabungkan dengan program lain bagi memastikan program tersebut mampu berdaya saing dan menjamin kemampanan program akademik itu sendiri.

Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermaksud program tersebut tidak lagi penting, sebaliknya pentadbiran IPT perlu memikirkan sesuatu supaya dapat ditambah baik demi melahirkan siswazah berkualiti dari segi kemahiran.

Kajian pasaran bersama industri juga sudah dilakukan sebelum sesebuah program ditawarkan, namun keadaan ekonomi yang tidak menentu dalam situasi negara dilanda pandemik COVID-19, pastinya memberikan kesan kepada kebolehpasaran graduan hari ini.

Oleh itu, IPT yang menawarkan bidang pengajian juga perlu keluar daripada kepompong kebiasaan dan mula berfikir lebih kreatif serta inovatif untuk memastikan kebolehpasaran siswazah dapat ditingkatkan. Sudah tiba masanya pihak universiti memainkan peranan dengan menyediakan aspek pengajian yang lebih mesra dengan dunia pekerjaan daripada peringkat awal.

Dengan pelbagai saingan dan teknologi kini yang semakin pesat berkembang, graduan tidak boleh hanya melihat tahap kecemerlangan pada kertas peperiksaan dan secara teori, sebaliknya mementingkan aspek praktikal dan teknikal. Maka, tahap kebolehpasaran mereka jauh lebih tinggi berbanding dengan pelajar yang hanya belajar pada satu bidang.

Sekiranya tiada usaha dilaksanakan bagi menambah baik kemahiran sedia ada dalam usaha memenuhi keperluan industri pada masa hadapan, jurang kemahiran dalam kalangan graduan siswazah akan melebar.

Sehubungan itu, dalam usaha membantu siswazah mendapatkan pekerjaan setiap universiti juga mungkin boleh mewujudkan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan sebagai proses persiapan dan persediaan mahasiswa menempuhi alam pekerjaan.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) turut mengakui ijazah kini bukan lagi lesen besar untuk menempatkan diri dalam dunia pekerjaan, sebaliknya pelbagai faktor lain, khususnya aspek fleksibiliti serta keupayaan komunikasi yang baik turut diberikan perhatian.

Hakikat yang harus diakui, mempunyai ijazah kini bukanlah lesen mendapat pekerjaan, sebaliknya hanya menjadi asas membina kerjaya. Peluang pekerjaan juga bukanlah bergantung pada kualiti IPT atau program yang ditawarkan oleh sesebuah universiti tersebut kerana seperti yang diketahui program-program yang ditawarkan sudah melepasi standard yang telah ditetapkan.

Oleh itu, dalam era serba mencabar hari ini, graduan perlu merebut sebanyak mungkin peluang untuk mendapatkan pekerjaan. Kerajaan turut berusaha membantu graduan-graduan ini dengan menyediakan platform menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Program KPT (KPT-CAP), iaitu satu usaha julung kali diadakan dalam menangani cabaran kebolehpasaran graduan dan mengurangkan pengangguran.


Ayuh graduan semua! Persiapkan diri untuk lebih berdaya saing.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi