15 Disember 2021, 11:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Belum pun reda kes mahkamah yang menyaksikan kematian Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, mangsa buli empat tahun lepas, baru-baru ini kita dikejutkan lagi dengan video buli yang juga berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di utara tanah air.

Walaupun kes buli yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah sering terpapar di dada akhbar dan tidak kurang juga hukuman yang dikenakan kepada mereka yang bersalah, namun tidak memberikan kesan sedikit pun kepada si pelaku. Mereka (pelaku) seolah-olah menganggap perkara tersebut sebagai remeh dan tidak perlu dirisaukan. Hal ini terbukti apabila masih ada kes-kes buli yang berlaku dan didedahkan dalam media sosial.

Persoalannya, sampai bilakah kes ini akan berterusan? Adakah tiada jalan penyelesaian atau kesudahannya? Perkara sebegini pastinya bukan sahaja menimbulkan trauma terutamanya kepada ibu bapa, malah timbul persoalan mengapakah perkara ini boleh berlaku dan selamatkah mana-mana institusi pengajian untuk pelajar pada masa ini?

Seperti yang kita sedia maklum, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) telah menamatkan pengajian 10 orang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli seperti yang tular di media sosial baru-baru ini. Menurut Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf dalam satu kenyataan, mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit yang berkuat kuasa pada 14 Disember.

Keputusan tersebut membuktikan MARA mengambil serius kejadian buli yang berlaku dan hukuman yang diputuskan ini menunjukkan mereka tegas serta tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) mahupun tajaan MARA.

Keputusan penamatan pengajian itu juga dibuat berdasarkan garis panduan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM. Diharapkan tindakan JDM berkenaan bukan sahaja menjadi pengajaran kepada pelajar yang terlibat dalam kes tersebut, malah juga kepada pelajar lain agar perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA atau institusi lain tidak lagi berlaku pada masa hadapan.

Sementara itu, kaji selidik Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada tahun 2018 mendedahkan bahawa tujuh daripada 10 orang kanak-kanak di negara ini berasa bimbang dan tidak selamat dengan isu buli. Nisbah ini dilihat tinggi berbanding dengan kadar tiga daripada 10 orang kanak-kanak di Jepun atau kadar empat daripada 10 orang kanak-kanak di Britain yang bimbang tentang gejala tidak sihat itu. Bahkan, situasi yang lebih membimbangkan termasuklah hasil kaji selidik global itu juga mendapati 54 peratus kanak-kanak merasakan pandangan atau suara mereka terhadap isu tersebut tidak didengari.

Laporan itu seharusnya membuka mata semua pihak bahawa betapa seriusnya isu tersebut dan penyelesaian holistik yang membabitkan semua pihak berkepentingan harus diambil. Hal ini penting berikutan kes buli dan perlakuan ganas ini turut mengakibatkan kematian. Mengikut statistik tahun 2015, sebanyak 3011 kes buli dilaporkan dan jumlah ini meningkat hingga 3488 kes pada tahun 2016.

Apa-apa yang dimahukan ialah pihak yang berkaitan perlu mengambil tindakan yang sewajarnya dalam usaha membendung perlakuan yang dilihat semakin “mengganas” dewasa ini. Ibu bapa terutamanya para pelajar ingin kehadiran mereka ke sekolah berasa selamat, di samping menjadi pelindung antara satu sama lain daripada ancaman buli. Selain itu, ibu bapa juga mahu anak masing-masing mempunyai keseimbangan yang baik dari aspek fizikal, mental dan emosi kerana isu kesihatan mental juga merupakan faktor pendorong yang mengakibatkan kes buli dan perlakuan ganas.

Pada masa yang sama, kejadian buli dalam kalangan pelajar juga boleh berlaku sama ada secara sengaja ataupun tidak. Oleh itu, ibu bapa merupakan individu yang terdekat dan bertanggungjawab untuk memantau perlakuan, adab dan pergerakan anak-anak walaupun mereka tidak bersama-sama selama 24 jam sehari.

Masyarakat menggesa agar akta khusus bagi menangani kesalahan buli atau penderaan dalam kalangan pelajar perlu diwujudkan segera kerana selain dilihat tiada jalan penyelesaian, masyarakat berharap sekurang-kurangnya dapat mengekang masalah buli ini sebelum hal ini terus melarat.

Yang pasti, masalah buli bukanlah suatu isu baharu dalam kalangan masyarakat pada hari ini kerana sudah berlarutan sejak sekian lama dan pada akhirnya melibatkan nyawa. Oleh hal yang demikian, diharapkan semua pihak dapat membuka mata agar kes buli ini dapat diselesaikan bersama-sama supaya anak-anak yang bersekolah di asrama penuh dapat kembali hidup tenang tanpa sebarang ketakutan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.