15 Disember 2021, 14:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Umpama selembar benang, dikait, ditenun dan dijalin akhirnya menjadi kain yang sempurna indahnya

Perumpamaan yang diberikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, jelas menunjukkan kesungguhan kerajaan pimpinan beliau untuk menonjolkan pentadbiran yang terbaik untuk rakyat. Kesepaduan rakyat dianalogikan sebagai benang yang akan melahirkan negara yang kuat atau kain yang indah berdasarkan tenunan yang betul.

Konsep Keluarga Malaysia ini menunjukkan bahawa permulaan bagi kehidupan dan keutuhan bermula daripada keluarga. Menganalogikan Malaysia sebagai sebuah keluarga, setiap rakyat merupakan ahli keluarga kepada Keluarga Malaysia.

Dalam pembentukan mana-mana negara bangsa, perpaduan dan kesatuan rakyat adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara. Begitu jugalah Malaysia yang terdiri daripada pelbagai ragam rakyatnya yang dipengaruhi oleh faktor demografi serta geografi. Ditambah pula dengan cabaran semasa, hubungan antara rakyat perlu dieratkan dan jurang yang wujud dek perbezaan warna kulit, agama dan bendera parti politik perlu didekatkan. Fokusnya cuma satu, iaitu untuk mengembalikan semula Malaysia ke landasan yang tepat bagi pembentukan negara bangsa yang stabil.

Kompas Malaysia

Selama lebih dua tahun rakyat Malaysia berdepan dengan seribu satu cabaran. Bermula dengan penularan pandemik COVID-19 yang kemudiannya membawa kepada pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang membatasi pergerakan rakyat.  Kesannya, pelbagai sektor ekonomi ditutup semata-mata untuk mengekang penularan pandemik yang kembali meningkat pada awal tahun 2021. Inilah pengorbanan besar rakyat selama dua tahun lalu. Pandemik ini sudah pasti telah memberikan kesan kepada aspek sosial dan ekonomi negara. Bagi menjayakan pemulihan ekonomi dan sosial negara tidak ada mana-mana golongan yang tercicir.  Semua golongan merentasi wilayah, agama dan kaum perlu disantuni dan dilibatkan dalam pelan pemulihan oleh kerajaan. Suara, pandangan dan rintihan setiap kumpulan didengar melalui pelbagai cara seperti libat urus antara kerajaan dengan pemegang taruh.

Inilah asas kepada konsep Keluarga Malaysia yang membawa tiga nilai utama, iaitu keterangkuman, kebersamaan dan nilai kesyukuran.  Nilai-nilai ini penting untuk sebuah keluarga besar yang sejahtera. Di bawah nilai keterangkuman, ahli keluarga perlulah saling hormat menghormati dan kasih mengasihani antara satu sama lain. Nilai kebersamaan pula menjadikan rakyat sentiasa mencari titik persamaan dalam segenap perkara manakala dalam nilai kesyukuran, ahli keluarga dianjurkan untuk sentiasa bersyukur dan berterima kasih.

Nilai-nilai ini perlu dihayati secara mendalam oleh masyarakat supaya mereka sedar bahawa mereka merupakan sebuah keluarga besar yang perlu sama-sama bergading bahu untuk mencapai visi Keluarga Malaysia, iaitu memulihkan negara, mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi. Realitinya rakyat sebagai ahli keluarga perlu mencari titik persamaan, bukannya perbezaan. Sebaliknya, konsep Keluarga Malaysia hanya akan menjadi sia-sia dan tidak berupaya merawat luka pandemik.

Selain itu, sebagaimana titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena istiadat mengucap selamat berangkat pada 25 Oktober lalu, iaitu dalam memastikan kejayaan konsep Keluarga Malaysia, pihak kerajaan perlu memberikan keyakinan bahawa setiap rakyat mempunyai tempat dalam keluarga ini. Kerajaan perlu mengamalkan budaya terbuka, bersedia menerima perbezaan pendapat dan menghargai pendekatan perbezaan kaedah. Ini tidak lain adalah untuk mencapai secara konsensus, pendapat atau kaedah yang terbaik untuk manfaat negara.

Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah itu bertepatan untuk memastikan konsep Keluarga Malaysia berjaya mencapai tiga bidang tumpuan utama, iaitu memulihkan semula dan merapatkan jurang ekonomi, menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia di bawah naungan Keluarga Malaysia dan mengetepikan perbezaan politik untuk mencapai kestabilan. Ketiga-tiga bidang tumpuan ini boleh dicapai melalui kesanggupan rakyat dan pemimpin untuk bersatu hati dan tenaga demi membentuk keadaan persekitaran yang lebih baik.

Asas Nilai dan Ciri Keluarga Malaysia

Meskipun konsep Keluarga Malaysia berasaskan semangat kekeluargaan, namun setiap nilai dan ciri Keluarga Malaysia masih perlu berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.  Dua perkara ini tidak boleh dipisahkan daripada Keluarga Malaysia.  Sememangnya konsep Keluarga Malaysia meraikan perbezaan dalam memberikan pandangan tetapi masih tertakluk pada kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Malah bagi tujuan pemantapan semangat kekeluargaan, setiap daripada ahli Keluarga Malaysia perlu akur bahawa sebagai ahli keluarga terdapat perkara yang tidak boleh diubah atau diganggu gugat. Perkara-perkara tersebut meliputi Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan berkenaan dengan Majlis Raja-Raja Melayu, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, iaitu hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera. Semua ini adalah elemen penting yang perlu difahami oleh ahli keluarga yang lain dalam Keluarga Malaysia.

Sebagai tambahan, ahli keluarga perlu saling menghormati hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan kepada semua rakyat di negara ini. Misalnya setiap kebebasan asasi yang diperuntukkan di Bahagian II Perlembagaan Persekutuan perlu dihadamkan seikhlas mungkin. Usahlah ada yang berselindung dengan kebebasan bersuara dengan menghamburkan kata-kata yang bersifat menghasut kepada agama, institusi beraja atau kedudukan hak kaum-kaum lain. Pada hakikatnya, setiap daripada kebebasan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan mempunyai had yang harus dihormati dan dipatuhi dan tidak bersifat mutlak.

Rujukan pada amalan undang-undang yang diamalkan di luar negara juga perlu selari dengan Perlembagaan Persekutuan yang diamalkan di Malaysia. “Lain padang lain belalangnya”. Lain negara, maka lain undang-undangnya.  Perkara ini perlu diamati oleh ahli keluarga Malaysia. Kini seolah-olah menjadi ikutan untuk menormalkan budaya songsang ke negara ini. Jangan menggunakan alasan Keluarga Malaysia untuk kita membawa masuk segala amalan songsang yang menjadi amalan di luar negara dan memaksa ahli-ahli Keluarga Malaysia yang lain menerima amalan-amalan ini.

Selain itu, Keluarga Malaysia perlu dipandu dengan Rukun Negara. Lima prinsip dalam Rukun Negara tidak hanya menjadi bacaan semata-mata, malah perlu difahami dan diamalkan. Tiada ruginya bagi ahli Keluarga Malaysia berpegang pada prinsip-prinsip dalam Rukun Negara. Tegasnya, prinsip-prinsip dalam Rukun Negara akan melahirkan warganegara yang berintegriti, patriotik dan bermoral untuk membentuk Keluarga Malaysia yang tulen. Memahami Rukun Negara akan membentuk lapisan masyarakat yang bersatu padu dan boleh menerima perbezaan agama, kaum dan bahasa sebagai salah satu imej Malaysia.

Hala Tuju Keluarga Malaysia

Konsep Keluarga Malaysia di bawah pimpinan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob perlu dihayati dan diperkembangkan pada peringkat pelaksana. Jentera kerajaan yang meliputi penjawat awam tidak mempunyai pilihan lain melainkan untuk menterjemahkan konsep ini dalam urusan seharian perkhidmatan awam. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata penjawat awam harus menggenggam semangat Keluarga Malaysia sebagai konsep penting dalam mengatur strategi memulihkan semula ekonomi dan menyusun semula negara.

Oleh hal yang demikian, konsep Keluarga Malaysia akan mempunyai hala tuju yang jelas apabila setiap daripada ahli keluarga mengetahui peranan dan posisi yang perlu dimainkan oleh mereka. Apabila hal ini dapat dicapai, barulah rakyat dapat merasai bahawa mereka sebenarnya ahli keluarga kepada Keluarga Malaysia yang sedang dijaga kebajikannya.

Secara tuntasnya, Keluarga Malaysia merupakan sebuah keluarga yang besar dan unik kerana terdiri daripada pelbagai latar belakang.  Keunikan inilah yang menjadi kekuatan buat Malaysia sejak dahulu lagi.  Lantaran itu, segala ketidakstabilan politik, ekonomi dan sosial perlu diatasi.  Fokus kini sewajarnya ditumpukan pada usaha memulihkan negara dan membawa kembali Malaysia ke landasan yang betul bagi mencapai negara berpendapatan tinggi. Perbalahan politik juga perlu digencatkan demi memberikan tumpuan terhadap usaha pemulihan negara supaya dapat mengembalikan kehidupan rakyat seperti dahulu.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.