Oleh Aisyah A.
16 Disember 2021, 14:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Dalam usaha memulihkan pasaran buruh negara, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melancarkan Malaysia Labor Market Interactive Data (MyLMID), sebuah portal interaktif yang memberikan gambaran mengenai kedudukan pasaran buruh di Malaysia dalam bentuk jadual dan visualisasi data berdasarkan dimensi statistik pasaran buruh yang terperinci pada peringkat nasional, negeri dan daerah pentadbiran.

MyLMID merupakan satu inisiatif baharu yang mengandungi maklumat pasaran buruh dalam portal bagi memudahkan akses, rujukan serta analisis statistik dengan lebih cekap bagi menjadi input dalam membuat keputusan ke arah pengukuhan pasaran buruh negara.

“Selain daripada data tinjauan yang diterbitkan oleh DOSM, MyLMID turut meliputi data pentadbiran daripada agensi terpilih. Portal ini ditambah baik dengan pelbagai sumber data supaya dapat dimanfaatkan secara optimum oleh agensi kerajaan, ahli ekonomi, ahli akademik, organisasi swasta dan individu dalam menilai kedudukan serta menganalisis senario pasaran buruh pada masa hadapan,” kata Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia.

Ketahui lebih lanjut berkaitan dengan pasaran buruh di laman rasmi MBLS.

Tambah Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir, pembangunan portal ini bertepatan dengan keputusan kerajaan menubuhkan Biro Statistik Buruh Malaysia (MBLS) di bawah kawal selia DOSM bermula Jun 2020 sebagai usaha untuk merapatkan jurang maklumat pasaran buruh negara.

Sejak dunia dilanda pandemik COVID-19, kedudukan pasaran buruh global dan Malaysia dilaporkan terjejas teruk. Terkini, situasi menunjukkan trend pemulihan dengan merekodkan kadar pengangguran lebih rendah, iaitu 4.3 peratus pada Oktober 2021 bersamaan seramai 705 ribu orang penganggur.

Namun begitu, hal ini masih belum mencapai kedudukan seperti sebelum pandemik. Situasi ini turut dialami oleh negara maju, seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada.

“Di sebalik pelbagai cabaran, pandemik COVID-19 hakikatnya telah mempertingkat kesedaran pelbagai segmen pengguna data terhadap keperluan maklumat yang holistik dengan kekerapan tinggi dalam menyokong proses membuat keputusan yang tepat secara pantas.

“Krisis ini secara tidak langsung menjadi pemangkin dalam merealisasikan aspirasi DOSM ke arah pengukuhan maklumat pasaran buruh melalui peningkatan penggunaan data pentadbiran yang tersedia di pelbagai agensi,” kata Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir dalam kenyataan media hari ini.

Selain itu, MyLMID juga menyediakan akses kepada penerbitan, kertas kajian dan garis panduan pengukuran sebagai rujukan dengan harapan ianya bermanfaat kepada setiap lapisan pengguna dalam menerokai sumber statistik pasaran buruh sekali gus menyumbang ke arah kestabilan pasaran buruh negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.