Oleh Hisyam Basabah
16 Disember 2021, 13:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apabila berbicara soal integriti, masyarakat tidak dapat lari daripada memperkatakan persoalan korupsi yang menjadi asbab kemandulan terhadap sesebuah bangsa. Integriti merupakan perkara yang sangat berkaitan rapat dengan persoalan kejujuran, tadbir urus yang mapan, nilai jati diri yang mampu melahirkan sikap yang bebas dari segala perkara negatif.

Negara membangun acap kali dikaitkan dengan nilai integriti yang rendah dan tahap korupsi yang tinggi sekali pun sesebuah negara membangun tersebut pernah mempunyai sejarah ketamadunan yang panjang dan gemilang. Persoalan korupsi yang membelenggu sesebuah negara pastinya merumitkan proses kemajuan dan daya saing negara tersebut di pentas antarabangsa.

Kepimpinan yang baik dan telus datangnya dari masyarakat yang mempunyai jati diri dan sikap yang telus dan cemerlang. Masakan pemimpin yang lahir dari masyarakat mempunyai sikap yang berbeza daripada budaya masyarakat itu sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana sudah pasti persekitaran masyarakat memainkan peranan utama dalam pembentukan seseorang individu yang kemudiannya diangkat menjadi pemimpin kepada sesebuah masyarakat tersebut.

Pandangan ilmuwan terkemuka juga menurut persekitaran yang dialami oleh mereka sebagai mana pandangan Al Maududi yang  keras terhadap hukum hakam Islam disebabkan beliau lahir di tengah-tengah masyarakat yang majoritinya bukan Islam di India sehingga beliau tidak berkompromi dengan sebarang perkara yang boleh memudaratkan Islam menurut perkiraannya.

Seorang lagi tokoh, iaitu Sunan Kali Jaga sangat bertoleransi dengan budaya Jawa untuk berpadu dengan Islam adalah kerana beliau lahir di tengah-tengah masyarakat yang mempunyai tahap toleransi yang tinggi. Manakala Nicolo Machievelli turut mempunyai sikap yang sangat tegas terhadap pandangan politik disebabkan beliau berada pada sebuah zaman yang mempunyai persaingan yang cukup sengit di Itali. Begitu juga dengan pandangan Karl Marx yang melihat berlakunya eksploitasi antara golongan borjuis terhadap proletar kerana beliau berada di tengah-tengah penindasan borjuis terhadap golongan proletar.

Maka itu, segala sudut pandangan seseorang individu itu datangnya dari keadaan masyarakat sekeliling. Oleh sebab itu, jika mahukan sebuah kepimpinan yang telus dan berintegriti, masyarakat perlu mengamalkan sikap berintegriti terlebih dahulu. Namun begitu, situasi yang berlaku pada hari ini, masyarakat lebih mudah menuding jari terhadap kesilapan individu lain dengan membuat kecaman seolah-olah segala permasalahan yang melanda negara itu datangnya daripada orang lain semata-mata.

Keadaan ini mencerminkan krisis integriti yang agak serius kerana dengan menuding jari kepada pihak lain, seolah-olah segala masalah yang berlaku itu berpunca daripada orang lain dan  berpeluk tubuh terhadap segala kekusutan yang melanda. Sebagai sebuah masyarakat yang berintegriti, kita harus mempunyai rasa kebertanggungjawaban dengan saling menjaga antara satu sama lain.

Oleh hal yang demikian, untuk melahirkan kepimpinan negara yang berintegriti, sesebuah masyarakat itu perlu mempunyai tahap integriti yang cukup tinggi dan usaha ini perlu bermula dengan individu yang membentuk masyarakat itu sendiri. Penerapan nilai-nilai agama yang berlandaskan budaya luhur Malaysia pasti mampu mendaya usahakan sebuah negara yang hebat dan kompeten di persada antarabangsa.

Apabila sesebuah masyarakat itu mempunyai integriti yang tinggi, pasti kemakmuran dan kemajuan negara dalam segenap aspek dapat dicapai, kerana apa-apa sahaja pencapaian yang gemilang bermula dengan asas integriti yang tinggi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.