Oleh Radzha Md Raieh
17 Disember 2021, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kehebatan sukan bola sepak yang mempunyai empat bilion peminat di seluruh dunia sangat mengagumkan. Masakan tidak, apa-apa sahaja yang berkaitan dengan bola sepak pasti menjadikan para peminatnya begitu obsesi sehingga menjadi industri sukan yang diperdagangkan menerusi popularitinya.

Namun begitu, bukan hal tersebut yang mahu dibincangkan, sebaliknya sukan bola sepak disifatkan sebagai medan ukhuwah antara rakyat sesebuah negara tanpa mengira perbezaan agama dan bangsa. Maka, tidak hairanlah apabila perlawanan Piala Dunia sentiasa dinanti-nantikan para peminatnya biarpun pelbagai kejohanan lain atas nama kelab juga dipertandingkan. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan Piala Dunia dianggap sebagai medan pertemuan pelbagai negara dari seluruh pelosok dunia dan hanya diadakan empat tahun sekali.

Terkini, sudah pasti peminat bola sepak yang tidak sabar untuk menyaksikan pertandingan terulung yang sedang berlangsung mulai 18 November hingga 18 Disember 2022 di Qatar. Sebelum menjelang tahun hadapan, sama-samalah kita selusuri beberapa trivia menarik tentang Piala Dunia ini.

1)Piala Dunia pertama

Diadakan di Uruguay pada 13 hingga 30 Julai 1930. Pada pusingan akhir, tuan rumah    telah menewaskan pasukan Argentina dengan jaringan 4-2 di hadapan 68 346 orang penonton.

2) Perlawanan yang paling jauh jaraknya

Disebabkan Perang Dunia kedua, Piala Dunia diadakan pada tahun 1938 dan yang seterusnya pula diadakan pada 1950. Hal ini mencatatkan perbezaan 16 tahun untuk mencari pemenang yang seterusnya.

3) Piala Dunia pertama yang disiarkan di kaca televisyen

Walaupun dunia masih terkesan dengan krisis Perang Dunia kedua, edisi Piala Dunia 1954 berjaya disiarkan di kaca televisyen dengan usaha Kesatuan Penyiaran Eropah.

4) Jerman dan Jepun dilarang menyertai Piala Dunia 1950

FIFA hampir-hampir membatalkan edisi Piala Dunia 1950 disebabkan tragedi Perang Dunia Kedua, tetapi pada akhirnya FIFA meletakkan syarat, iaitu Jerman dan Jepun tidak dibenarkan menyertai edisi 1950 kerana mereka mengalami kemusnahan harta benda serta kehilangan berjuta-juta nyawa akibat penglibatan dalam peperangan tersebut.

5) Piala Dunia pertama dikenali sebagai Jules Rimet pada tahun 1930 hingga 1970.

Trofi baharu yang digunakan dari 1974 sehingga kini dikenali sebagai Trofi Piala Dunia FIFA yang diperbuat daripada emas 18 karat dengan dua karakter manusia memeluk bumi.

6) Trofi pernah dicuri dua kali

Trofi Piala Dunia era lama (Jules Rimet) pernah dicuri ketika dipamerkan kepada umum empat bulan sebelum bermulanya Piala Dunia 1966 di England. Trofi Piala Dunia era baharu pula hilang kerana dicuri daripada kabinet pameran di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Brazil, Rio De Janeiro pada tahun 1983.

7) Pemain tertua

Pada usia 42 tahun, Roger Milla, pemain dari Cameroonian menjadi penjaring gol dalam sejarah menewaskan Rusia pada tahun 1994.

8) Pemain dua negara di perlawanan akhir

Luis Monti yang bermain untuk tanah airnya, Argentina pada tahun 1930 (kalah kepada Uruguay) kemudiannya menyertai Itali pula pada 1934 (menang ke atas Czechoslovakia 2-1).

9) Piala Dunia di dua buah negara

Asia buat pertama kali menjadi tuan rumah Piala Dunia pada 2002 dengan hos bersama antara Korea Selatan dengan Jepun.

10) Negara yang tidak pernah putus asa

Selepas gagal melayakkan diri ke Piala Dunia sebanyak 12 kali (Iceland) dan 10 kali (Panama), akhirnya kedua-duanya membuat penampilan sulung di Piala Dunia 2018.

11) Penjaring terbanyak pada tahun 2002

Ronaldo menjaringkan keseluruhan lapan gol (dua di perlawanan akhir) dan menerima anugerah kasut emas sebagai penjaring terbanyak.

12) Insiden tandukan Zinedine Zidane

Semasa Piala Dunia 2006, pemain terbaik Perancis, Zinedine Zidane dilayangkan kad merah kerana sengaja menanduk pemain pertahanan Itali, Marco Materazzi di dada. Beberapa tahun kemudian, Materazzi mengakui kejadian tersebut berlaku kerana dia menyentuh isu yang berkaitan dengan kakak Zidane.

13) Maskot buah oren

Pada tahun 1982, Sepanyol menonjolkan kelainan dengan menjadikan buah limau sebagai maskot mereka.

14) Pegang bola

Mengikut peraturan FIFA, penjaga gol hanya boleh memegang bola kurang daripada enam saat. Jika melebihi tempoh tersebut, pihak lawan akan mendapat sepakan percuma.

15)  Asal-usul penentuan tempat ketiga

Bermula pada tahun 1954 dengan FIFA pada ketika itu mengumumkan format baharu bagi penentuan tempat ketiga dalam kejohanan ini. Pemenang tempat ketiga dimenangi oleh Austria selepas menewaskan Uruguay 3-1.

16) Negara apakah yang  muncul dalam semua Piala Dunia FIFA?

Brazil

17) Lapan negara sahaja bergelar sebagai Juara Piala Dunia

Meskipun telah berlangsung  sebanyak 21 edisi Piala Dunia sehingga 2018, hanya lapan negara sahaja yang pernah memenanginya. Brazil menjuarai gelaran ini sebanyak lima kali diikuti Itali dan Jerman (empat kali), Argentina dan Uruguay (dua kali) manakala England, Perancis, Sepanyol dan Uruguay masing-masing sekali.

Trivia Emas

Naib Presiden FIFA, Ottorino Barassi pernah menyembunyikan trofi di bawah katilnya semasa Perang Dunia Kedua kerana bimbang akan dicuri oleh tentera Nazi pada waktu itu. Dia menyeludup keluar trofi yang dikenali Jules Rimet itu daripada sebuah bank di Rom dan disembunyikan di bawah katilnya sepanjang tahun 1940-an.

 

 

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi