21 Disember 2021, 14:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Hubungan diplomatik Malaysia-China yang terjalin sejak tahun 1974 terus kukuh, namun pada kali ini hubungan tersebut diterjemahkan melalui kerjasama dalam bidang penerbitan pula. Sejarah tercipta pada hari ini, bertempat di Dewan Pleno, Aras 3, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama Foreign Language Press (FLP) menganjurkan Majlis Pelancaran Buku Xi Jin Ping: Tadbir Urus China I. Pejabat Penerangan Majlis Negeri China (SCIO), China International Publishing Group (CIPG) serta Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia bertindak selaku penaja demi memastikan majlis yang diadakan dapat berlangsung dengan jayanya.

Majlis dimulai dengan ucapan TYT Ouyang Yujing, Duta Besar Republik Rakyat China, diikuti dengan ucapan oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, ucapan Dua Zhanyuan selaku Presiden China International Publishing Group (CIPG) yang diadakan melalui rakaman radio, kemudian disusuli dengan ucapan oleh YB Xu Lin, Timbalan Ketua jabatan Publisiti Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China merangkap Menteri di Pejabat Penerangan Dewan Negara Republik Rakyat China (SCIO) yang juga melalui rakaman radio. Kemuncak acara dirasmikan oleh Tan Sri Azhar Azizan Harun, Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Buku terjemahan yang dilancarkan pada hari ini merupakan kompilasi hasil kerja Presiden China, Xi Jinping yang dihasilkan sejak 15 November 2012 hingga 13 Jun 2014 yang meliputi 79 teks ucapan seminar, forum, wawancara, komentar, nota penjelasan, sedutan ucapan, serta inti pati kenyataan yang terbahagi kepada 18 bab.

Impian China sebagai Impian Sedunia.

Itulah yang dapat diungkapkan apabila meneliti secara permukaan isi cerita yang terdapat dalam buku yang wajar dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat jika ingin menelusuri sejarah yang panjang tentang China. Buku tersebut memberikan penjelasan dan ketidakfahaman orang awam berkaitan dengan masyarakat di negara China. Presiden Xi Jin Ping ada menyebut dalam tulisan beliau bahawa impian masyarakat China ialah kebahagiaan dan kegembiraan yang sama dengan impian rakyat di negara-negara lain.

Oleh hal yang demikian, nilai teras sosialisme yang perlu diikuti menerusi versi China menurut Presiden Xi Jinping termasuklah memupuk amalan yang membawa keamanan, kemakmuran, demokrasi, keadilan, peradaban keharmonian, keluhuran undang-undang, nilai patriotisme, mengutamakan integriti dan nilai persahabatan.

Penerbitan Xi Jinping: Tadbir Urus China I dalam bahasa Melayu dapat diandaikan sebagai hadiah tahun baharu bagi penggemar yang sekian lama menantikan penerbitan buku ini. Pelbagai unsur positif dapat dicerap menerusi kandungan buku ini, khususnya  hala tuju negara dalam menghadapi arus kemodenan, globalisasi yang memberikan impak kepada rakyat dan pembangunan China yang kini menjadi kuasa kedua terbesar di dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.