22 Disember 2021, 15:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Malaysia sedang berduka pada ketika ini apabila beberapa buah kawasan musnah dilanda banjir yang tidak terduga akan kehadirannya. Ketika negara ini masih bergelut dengan kemelut pandemik COVID-19, berlaku pula banjir besar di luar jangkaan sehingga membawa kesukaran kepada masyarakat terutamanya bagi golongan yang tinggal di kawasan yang berkepadatan tinggi.

Namun begitu, di sebalik bencana ini, timbul suatu perkara yang begitu membanggakan, iaitu semangat perpaduan, simpati, empati dan belas kasihan yang ditunjukkan oleh masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, keturunan mahupun umur. Mereka sememangnya telah memanifestasikan Keluarga Malaysia seperti yang telah dilaungkan oleh kepimpinan negara.

Pelbagai bentuk bantuan yang diberikan dan sumbangan itu sangat diperlukan oleh golongan yang terjejas akibat musibah yang tidak terduga itu. Situasi semakin kritikal apabila masih ada yang terperangkap dalam kediaman yang telah ditenggelami air. Situasi yang lebih meruntun hati juga dapat disaksikan apabila ada mangsa yang ditemui sudah tidak bernyawa.

Harapan disandarkan kepada mereka yang memiliki kelebihan kudrat tenaga, sumber fasilitet dan kewangan bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terkesan. Permuafakatan segenap lapisan masyarakat yang ditunjukkan benar-benar membuktikan bahawa rakyat Malaysia memiliki sifat prihatin dan nilai kemanusiaan yang luar biasa. Tanpa acuan ataupun laungan Keluarga Malaysia, mereka mampu menjadi masyarakat yang memahami dan bertindak balas terhadap kesusahan yang dialami oleh individu lain.

Rakyat pada ketika ini berjaya membuktikan bahawa satu daripada cita-cita Rukun Negara, iaitu mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan sebuah masyarakat diyakini hampir tercapai.

Syabas kepada seluruh rakyat Malaysia yang berjiwa besar dan penyayang. Apa-apa yang diharapkan supaya semangat ini dapat diteruskan bagi menjadikan negara ini sebuah negara yang teguh dan harmoni walaupun sedang dilanda badai. Semoga diberikan ganjaran yang sebaik-baiknya bagi mereka yang membantu dan bersimpati serta diberikan kekuatan dan ketabahan kepada mereka yang terkesan dan terjejas oleh musibah ini.

Dr. Naziatul Aziah Mohd Radzi, Pensyarah Kanan, Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan, Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kelantan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.