22 Disember 2021, 17:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Bencana banjir yang berlaku baru-baru ini turut dialami sejumlah 16 orang karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka dari pelbagai kawasan. Kejadian yang disifatkan antara yang terburuk itu mendapat perhatian Pengurusan Tertinggi DBP. Pada 18 Disember 2021, Pasukan Sukarelawan DBP yang diketuai oleh Encik Hasmadi Mohd. Ali, Ketua Bahagian Pentadbiran Am DBP, diwujudkan untuk menyelaras dan menyalurkan bantuan dengan segera kepada karyawan yang terjejas.

Sejak dua hari lalu, kerja-kerja pembersihan di rumah karyawan yang menjadi mangsa banjir terus dilaksanakan. Bantuan awal ini meliputi agihan bahan makanan, pakaian, sumbangan wang tunai dan pembersihan rumah oleh pasukan yang dianggotai oleh Ketua-ketua Bahagian dan kakitangan DBP pada pelbagai peringkat.

Insiden yang menimpa karyawan DBP tersebut telah mendapat perhatian Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM). Pada hari ini bertempat di lobi Menara DBP, sebuah majlis ringkas penyerahan sumbangan pihak PPMM kepada karyawan DBP telah diadakan. YBrs. Encik Roslizam Rahim, Naib Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) mewakili YBhg. Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden PPMM, telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Encik Hasmadi Mohd. Ali, Puan Hajah Norjanah binti Yusof, Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran DBP, Puan Yusmawati Ab.llah, Pengerusi Biro Kebajikan PPMM dan Encik Mohamad Amirnizam Azmi yang juga dari PPMM.

Dalam pertemuan singkat itu, Ketua Pengarah DBP mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada PPMM atas perhatian dan sumbangan yang diberikan kepada mangsa banjir DBP. Ketua Pengarah juga mendoakan agar seluruh mangsa banjir dapat bertenang dan beliau percaya semua pihak bertungkus-lumus untuk memberikan bantuan kepada golongan yang terjejas, selain memberikan tumpuan kepada misi bantuan kepada mangsa banjir yang lain.

Encik Roslizam Rahim juga berharap agar karyawan DBP yang terjejas akibat bencana banjir  serta mangsa banjir yang lain akan terus dibantu khususnya dari segi material serta sokongan psikologi. Menurut Puan Yusmawati Ab.llah, tuntutan insurans tidak boleh dilakukan oleh mangsa banjir kerana klausa tersebut tidak terdapat dalam polisi insurans bagi melindungi pemegang insurans yang terjejas kerana bencana alam termasuk diri dan harta benda.

Perkara yang boleh dilakukan ialah pihak tertentu disarankan untuk memberikan bantuan dari segi material mahupun sokongan psikologi. Tambah beliau, PPMM akan terus bersedia menghulurkan bantuan yang boleh disalurkan berdasarkan pengalaman dan kepakaran sedia ada pihak PPMM, agar mangsa banjir  dapat diberikan bantuan secepat yang mungkin.

Pertemuan ringkas itu diakhiri dengan penyerahan Kamus Dewan Perdana oleh Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran kepada Encik Roslizam Rahim.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.