24 Disember 2021, 14:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Gajah ‒ Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima anugerah Juara Integriti dan Antirasuah 2021 bagi kategori agensi awam persekutuan dalam Majlis Apresiasi Juara Antirasuah (MAJAR) bersempena dengan Kolokium Integriti dan Antirasuah 2021, pagi ini. Kolokium yang berlangsung selama dua hari bermula pada 23 hingga 24 Disember 2021 di Dewan CREaTE, Alor Gajah ini dianjurkan oleh Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO).

Menurut Presiden ACeIO, Tuan Ahmad Sabri Mohamed, “Anugerah ini diberikan khusus kepada pertubuhan, persatuan, agensi, institusi serta individu yang berjaya menunjukkan komitmen dan inisiatif dalam usaha membudayakan serta mengangkat integriti dan memerangi amalan rasuah.”

Tuan Ahmad Sabri Mohamed, Presiden ACeIo Malaysia.

Pada majlis tersebut, sebanyak 14 pihak yang menerima anugerah Juara Integriti dan Antirasuah 2021 mengikut kategori yang berbeza-beza, iaitu Persatuan Penguatkuasa PBT Negeri Johor (kategori persatuan/pertubuhan); Universiti Perguruan Sultan Idris (kategori institusi pendidikan tinggi); Kementerian Pembangunan Luar Bandar (kategori kementerian); Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan dan DBP (kategori agensi awam persekutuan); Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Melaka, Pejabat SUK Negeri Sembilan, Pejabat SUK Kedah dan Pejabat SUK Johor (kategori SUK); Jabatan Agama Islam Negeri Melaka (kategori agensi negeri); Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Dungun dan Majlis Perbandaran Segamat (kategori Pihak Berkuasa Tempatan); serta Majlis Perbandaran Kluang yang menerima Anugerah Khas MAJAR 2021.

Jarang-jarang kita jumpa agensi yang boleh melahirkan warga kerja yang membudayakan integriti dan menolak rasuah. Pada tahun 2019, Majlis Perbandaran Kluang berjaya melahirkan lebih daripada 20 orang Juara Antirasuah yang penuh integriti dengan menolak sebarang bentuk pemberian dan rasuah. Hal yang demikian tidak terhenti di situ malah ada kesinambungannya. Kita dapat lihat hasilnya pada tahun ini apabila Majlis Perbandaran Kluang sekali lagi menunjukkan kecemerlangan dengan melahirkan 17 orang Juara Antirasuah.

“Bersama-samalah kita menjayakan pembudayaan dan pengukuhan integriti dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Sebanyak 17 orang warga kerja Majlis Perbandaran Kluang menerima anugerah Juara Antirasuah.

Ketika penyampaian Anugerah Khas MAJAR 2021, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, Puan Norliyati Md Nor berkata, “Dengan penyampaian anugerah ini, diharapkan pada masa akan datang lebih ramai yang menerima anugerah sebegini dan menjadi juara integriti dan antirasuah. Pembudayaan amalan integriti tidak seharusnya terhenti setakat hari ini sahaja, ajaklah lebih banyak orang untuk bersama-sama mengamalkan integriti, bersikap telus serta menolak sebarang unsur rasuah dalam kehidupan sehari-harian.”

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi