Oleh Mubarak Ismail
24 Disember 2021, 11:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyatakan kegembiraan baginda melihat usahawan wanita terus berusaha memperbaiki diri dengan menuntut ilmu keusahawanan. Selain itu, banyak yang turut berjaya membantu wanita lain menjana pendapatan. Semangat, motivasi dan dorongan rakan-rakan, keluarga, terutamanya suami dan anak-anak menjadikan golongan wanita terus kuat dan kental dalam perniagaan.

Dalam mengharungi cabaran COVID-19, usahawan wanita juga tidak mudah berputus asa meneruskan kehidupan. Ada dalam kalangan wanita yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dan ada juga yang menggunakan media sosial sebagai medium pengganti kedai dan gerai mereka. Wanita juga perlu bergerak seiring dengan peredaran masa. Bahkan, kebanyakan pelanggan semakin memilih menjalankan urusan jual beli secara dalam talian berbanding secara fizikal. Seiring arus permodenan dan perkembangan teknologi terkini, golongan wanita tidak lagi bersifat inklusif dan semakin berdikari.

Demikian titah Tuanku Hajah Lailatul Shahreen ketika berkenan mencemar duli menyempurnakan penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), iaitu Women In Search of Excellence (WISE) – Women In Entrepreneurship, anjuran Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dengan kerjasama YTF pada petang semalam.

Baginda juga berharap supaya penglibatan wanita dalam aktiviti keusahawanan dapat mengubah stereotaip terhadap golongan wanita sekali gus mengangkat martabat wanita di mata dunia. Semoga usahawan wanita di luar sana terus maju, cekal, berdaya saing serta sentiasa dilindungi oleh Allah SWT.

Antara panelis undangan termasuklah Perunding dan Pemilik Principal Peta Academy (PETA), Marlizaton Omar sebagai penyampai ucaptama bertajuk “Pemerkasaan Wanita Melalui Keusahawanan”. Seterusnya disusuli slot webinar pertama dengan topik “Intelek Wanita: Profesionalisme dan Keusahawanan” oleh Dr. Mashitah Mad Salim (MS Agroz) dan Adibah Abdul Bari (Trulooks) serta slot webinar kedua, iaitu “Peranan dan Cabaran Dalam Perniagaan Dari Perspektif Usahawan Wanita” oleh Mastinah Mohd Sanim (Azam Motor Banting) dan Leny Adam (Asianic Halal).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.