27 Disember 2021, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
InfoBencana JKM – Perkembangan terkini berkaitan dengan situasi bencana di beberapa negeri di seluruh Malaysia.

Kuala Lumpur – Sebanyak 28 005 mangsa banjir daripada 8598 keluarga masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima negeri pada pagi ini berbanding dengan 33 193 mangsa malam tadi.

Menurut aplikasi InfoBencana JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), kesemua mereka ditempatkan di 233 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

Jumlah mangsa di Kelantan mencatatkan penurunan dengan 378 orang daripada 127 keluarga setakat pukul 7.00 pagi ini berbanding dengan 470 orang daripada 153 keluarga semalam, melibatkan dua PPS yang dibuka di Jajahan Pasir Mas, Kelantan.

Portal rasmi Info Banjir JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, dan hanya satu sungai berada pada paras waspada, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Sementara itu, jumlah mangsa di Selangor terus mencatatkan penurunan kepada 11 864 mangsa daripada 3521 keluarga yang ditempatkan di 61 PPS pagi ini, berbanding dengan 15 354 mangsa di 81 PPS malam tadi.

Berikutan dua kes panggilan untuk memadam kebakaran melibatkan sampah dan perabot yang terjadi di Klang, Jabatan Bomba dan Penyelamat menasihati supaya penduduk tidak membakar sisa buangan banjir mereka.

Di Pahang pula, sebanyak 16 579 mangsa banjir masih berada di 119 PPS pada pagi ini berbanding dengan semalam, iaitu 17 211 orang.  Daerah yang masih terjejas ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Manakala, jumlah mangsa banjir di Melaka kekal sebanyak 28 orang daripada lapan keluarga setakat pukul 8.00 pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, hanya PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan mangsa.

Di Negeri Sembilan, mangsa banjir di negeri itu menunjukkan penurunan kepada 128 individu daripada 37 keluarga berbanding dengan semalam 132 mangsa daripada 38 keluarga. Tiga  PPS masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.