27 Disember 2021, 20:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Perpustakaan Sultan Ismail (PSI).

Johor Bahru – Pada hari ini, menerusi seminar secara dalam talian, Perpustakaan Sultan Ismail (PSI) Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan kerjasama Persatuan Sejarah Lisan Malaysia (PSLM) menganjurkan Webinar Warisan Johor Bahru bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Perisytiharan Majlis Bandaraya Johor Bahru ke-28.

Siri pertama webinar ini diadakan pada hari ini bermula pada pukul 9.30 pagi hingga 1.00 tengah hari. Hampir 100 orang penglibatan peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuklah wakil Agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, serta individu pencinta sejarah negeri Johor.

Turut diundang panel pada sesi pertama webinar ini daripada pakar sejarah Johor, iaitu YB Profesor Dr. Haji Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Majlis Jumaah Diraja Johor, YBrs. Tuan Haji Kamdi Kamil, Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Johor dan YBrs. Dr. Mardiana Nordin, Pensyarah Jabatan Pengajian Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, manakala Puan Hikmah Hassan, Penolong Pustakawan PPAS merangkap Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Lisan Malaysia merupakan pemudah cara dalam webinar pada hari ini.

Tonton webinar Warisan Johor Bahru di sini.

Turut hadir menyampaikan ucapan alu-aluan untuk webinar ini ialah YBhg. Dr. Zahidi Dato’ Zainal Rashid, Pengerusi Persatuan Sejarah Lisan Malaysia. Perasmian webinar ini pula disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Mohd. Noorazam Dato’ Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru.

YB Dato’ Haji Mohd. Noorazam Dato’ Haji Osman, Datuk Bandar Johor Bahru.

…MBJB berhasrat untuk mengekalkan elemen sejarah warisan dan budaya, maka visi MBJB ialah menerapkan perkara ini, iaitu ‘Bandar Raya Bertaraf Antarabangsa, Berbudaya dan Lestari’.

“Sehubungan dengan itu, usaha-usaha pendidikan, pendedahan dan pengekalan warisan sejarah ini turut ditekankan dalam pelan transformasi bandar raya Johor Bahru dan pelan strategik MBJB.

Tambah YB Dato’ Haji Mohd. Noorazam lagi, “…melalui pengetahuan sejarah, hubungan sesama warga bandar raya akan bertambah harmoni dan kukuh tanpa mengira latar belakang kaum, warna kulit, umur, bahasa dan agama dan sudah pasti, perkongsian kisah-kisah yang termaktub dalam buku sejarah membolehkan kita dapat mempelajari kegemilangan bandar Johor Bahru ini pada suatu waktu dahulu, dan seterusnya menambah semangat kita untuk membawa bandar raya ke puncak persada antarabangsa.”

Webinar ini memfokuskan warisan sejarah Johor moden yang sehingga hari ini kekal dapat dilihat oleh generasi dan maklumat, serta penulisan sejarah yang banyak terdapat di pelbagai pusat rujukan serta sumber perlu didedahkan dan dengan cara demikian kita akan dapat meningkatkan penghayatan umum kepada sejarah khususnya tentang sejarah Johor Bahru.

Sesi kedua seminar ini akan dilaksanakan pada 3 Januari 2022. Menurut YM Tengku Tarmizi Tengku Aziz, Pustakawan PSI, program ini merupakan antara aktiviti yang dapat mendekatkan lagi pelbagai lapisan masyarakat dengan PSI. PSI kini sudah pun beroperasi semula dengan kemudahan yang lebih lengkap dan menarik untuk para pengunjung selepas dua tahun ditutup untuk pengunjung kerana proses naik taraf perpustakaan ini.

PSI kini sudah beroperasi semula dengan kemudahan yang lebih lengkap dan menarik.

Mengulas lebih lanjut, beliau menyeru kepada seluruh warga bandar raya Johor Bahru supaya sentiasa mengikuti perkembangan aktiviti PSI yang terkini melalui media sosial MBJB dan juga laman web MBJB. Tidak ketinggalan pula kepada para pembaca dan peminat sejarah agar mengikuti webinar berikutnya dan boleh merujuk poster yang disertakan ini.


Untuk keterangan lanjut, boleh berhubung terus dengan Urus Setia Webinar Warisan Johor Bahru melalui talian 07-239 1795 atau e-mel.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.