Oleh Aisyah A.
28 Disember 2021, 21:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya  Hampir dua tahun lebih pandemik COVID-19 melanda seantero dunia hingga mengakibatkan aktiviti ekonomi merudum. Hari ini, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin mengumumkan bahawa eksport negara mencatat pertumbuhan sebanyak 32.4 peratus pada November 2021. Trend peningkatan dua digit ini telah dikesan sejak Ogos lalu yang menunjukkan jumlah eksport pada bulan November sebanyak RM 112.2 bilion.

Peningkatan dalam eksport Malaysia ini disokong oleh aktiviti eksport domestik berjumlah RM93.7 bilion dan eksport semula, RM 18.5 bilion, yakni masing-masing meningkat sebanyak 34.3 peratus dan 23.9 peratus berbanding dengan November 2020.

Pertumbuhan ini dilihat melalui 192 daripada 255 kumpulan barangan untuk eksport walaupun prestasi dari bulan ke bulan dan lebihan dagangan sedikit menurun, iaitu pada kadar 1.9 peratus dan 28.1 peratus sejak Mei 2020.

Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan bahawa dagangan eksport lebih tinggi ke negara, seperti Amerika Syarikat (RM 3.3 bilion), China (RM2.9 bilion), Singapura (RM2.6 bilion), Vietnam (RM2.5 bilion), Kesatuan Eropah (RM2.1 bilion), India (RM2.0 bilion), Indonesia (RM1.9 bilion), Jepun (RM1.4 bilion) dan diikuti oleh Republik Korea (RM1.2 bilion) telah menyumbang besar dalam peningkatan eksport negara.

Antara barangan yang memberikan sumbangan besar dalam peningkatan eksport, termasuklah barangan elektrik dan elektronik (RM5.9 bilion); keluaran petroleum (RM5.1 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasakan minyak kelapa sawit (RM3.9 bilion); barangan perkilangan logam (RM2.5 bilion); kimia dan bahan kimia (RM2.0 bilion); gas asli cecair (RM1.9 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (RM1.3 bilion); jentera, kelengkapan dan peralatan (RM1.1 bilion) serta barangan besi dan keluli (RM1.0 bilion).

Barangan elektrik dan elektronik menjadi satu daripada sumbangan terbesar dalam peningkatakan jumlah dagangan eksport Malaysia.

Selain peningkatan eksport, Malaysia turut menunjukkan trend kenaikan sebanyak 38 peratus dalam aktiviti import, iaitu kepada RM93.3 bilion berbanding dengan November 2020 dan 191 daripada 258 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif. Jumlah dagangan dan lebihan dagangan juga meningkat dengan jumlah masing-masing, iaitu RM205.5 bilion dan RM18.9 bilion, manakala prestasi dari bulan ke bulan import dan jumlah dagangan masing-masing meningkat 5.9 peratus dan 1.5 peratus.

Jika Amerika Syarikat menjadi penyumbang utama dalam aktiviti eksport Malaysia, China pula merupakan penyumbang utama kepada peningkatan import (RM4.9 bilion), diikuti Singapura (RM3.1 bilion), Kesatuan Eropah (RM2.9 bilion), Republik Korea (RM2.5 bilion), Indonesia (RM2.4 bilion), Taiwan (RM2.4 bilion), Thailand (RM1.4 bilion), Vietnam (RM1.3 bilion) dan Amerika Syarikat (RM1.0 bilion).

Kenaikan ini dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik (RM8.5 bilion); keluaran petroleum (RM5.2 bilion); kimia dan bahan kimia (RM2.6 bilion); jentera, kelengkapan dan peralatan (RM1.2 bilion), barangan perkilangan logam (RM986.8 juta) dan barangan besi dan keluli (RM922.2 juta).

Selari dengan prestasi kukuh, jumlah dagangan berkembang 34.9 peratus kepada RM205.5 bilion berbanding dengan bulan yang sama pada tahun 2020. Hal ini bermakna, buat julung kalinya jumlah dagangan Malaysia mencecah dua trilion, yakni berkembang 24.6 peratus daripada tempoh yang sama pada tahun 2020.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.