Oleh Syazwani Jailani
28 Disember 2021, 09:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kaya bererti kehidupan tanpa hutang.

Sejauh manakah kehidupan tanpa hutang ini boleh digapai sekiranya realiti yang sedang berada di hadapan ialah sebaliknya?

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Universiti Malaya (UM), didapati bahawa sebanyak 68 peratus rakyat Malaysia berhutang disebabkan oleh perbelanjaan yang tidak terkawal sehingga dibelenggu kesempitan hidup dengan nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) cukup tinggi, iaitu 80 peratus.

Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial UM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Norma Mansor menyatakan bahawa laporan kajian yang dikeluarkan pada tahun 2019 itu merupakan hasil kaji selidik selama setahun yang mendapati perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan membawa kepada masalah hutang.

Sementara itu, mengikut Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2021 Bank Negara Malaysia (BNM) pada September lalu, sebahagian besar peminjam isi rumah mempunyai penampan kewangan yang mencukupi dan kekal berdaya tahan untuk menghadapi sebarang kejutan.

Laporan itu mendapati bahawa dedahan bank kepada peminjam yang mudah terjejas dianggarkan mencakupi hanya 1.3 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan. Keadaan mampan ini terhasil kerana kerajaan menyediakan inisiatif kepada golongan peminjam yang terkesan menerusi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak negara dilanda COVID-19 pada penghujung tahun 2019.

Berdasarkan laporan tersebut, pertumbuhan hutang isi rumah secara amnya mampan pada akhir Jun 2021, iaitu sebanyak 5.5 peratus berbanding dengan Disember 2020, 5.5 peratus daripada tempoh sama pada tahun lalu walaupun lebih ramai peminjam menyambung kembali pembayaran pinjaman sejurus tempoh moratorium pinjaman berakhir.

Tambahan pula, selepas Jun sehingga Disember 2021, industri semakin rancak menjalankan perniagaan masing-masing, bahkan kebanyakan sektor swasta khususnya mula memainkan peranan dengan membuka kembali peluang pekerjaan kepada masyarakat yang terjejas sepanjang PKP lalu.

Namun begitu, dengan kembalinya kerancakan ini bukan alasan untuk bebas mencipta hutang sedangkan hutang yang sedia ada masih berjalan. Kerancakan ekonomi yang sedang subur merupakan tanda baik untuk menguruskan kehidupan masing-masing, termasuklah melakukan pembayaran hutang tertangguh dan lain-lain.

Hindari Hutang

Seharusnya, PKP mendidik jiwa setiap individu untuk lebih bijak menguruskan kewangan, yakni jangan sesekali mencipta hutang baharu sekiranya tiada keperluan untuk berbuat begitu.

Hal ini dikatakan demikian kerana walaupun bantuan bayaran balik pinjaman yang disediakan menyokong peminjam untuk membayar balik hutang buat sementara waktu, pemulihan ekonomi lebih mantap tetap menjadi faktor utama dalam pemulihan kekukuhan kewangan peminjam dalam jangka masa lebih panjang.

Oleh itu, pengurusan kewangan sangat penting dalam menjalani kehidupan hari ini supaya sekiranya berlaku sekali lagi perkara yang tidak dijangka, setiap individu dapat menjalani hidup tanpa beban hutang yang tidak sepatutnya.

Terdapat lima cara untuk menolak daripada berhutang, iaitu:

  • Langsaikan hutang tertinggi: Selesaikan hutang tertinggi yang biasanya merupakan pinjaman rumah, kenderaan dan pendidikan, yakni bayaran pinjaman ini wajib dibuat pada setiap bulan tanpa culas dan usah biarkan tertangguh.
  • Berani mengatakan “tidak”: Berani untuk berkata tidak sekiranya perbuatan itu membolehkan kita mencipta hutang tanpa sebab, seperti penggunaan kad kredit dan pinjaman peribadi.
  • Rekod perbelanjaan: Setiap bulan, pengiraan perlu dilakukan pada setiap perbelanjaan bulanan. Sekiranya boleh dikurangkan, kurangkan dan sekiranya tidak perlu, padamkan daripada senarai perbelanjaan.
  • Sedekah: Memberi merupakan satu daripada amalan sedekah atau infak. Dengan cara ini, kita dapat membersihkan harta (kewangan) yang ada pada setiap rezeki kita, ada juga rezeki untuk golongan yang memerlukan.
  • Bersyukur dan mencukupi: Bersyukur dengan nikmat yang diperoleh kerana masih mampu menyediakan perkara asas dalam kehidupan seperti rumah, kenderaan, pendidikan serta makan dan minum. Sekiranya mampu untuk membeli rumah, hal ini sudah mencukupi berbanding dengan membeli tiga rumah semata-mata dijadikan aset masa depan walaupun tidak mampu sehingga menanggung beban hutang berpanjangan.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!