29 Disember 2021, 11:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Berdasarkan perkongsian daripada YBrs. Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, juga berasal dari Sabah, merantau adalah kata yang begitu sinonim dengan masyarakat rumpun Melayu.

YBrs. Prof. Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad.

Tidak kira di mana sahaja asal mereka, sifat semula jadi yang ada pada manusia rumpun Melayu gemar merantau dan menimba pengalaman di tempat yang lebih jauh dari kampung halaman, namun masih menjaga dan mengekalkan jati diri etnik yang diwarisi. Malah mereka memiliki semangat yang teguh cintakan perpaduan dan mempunyai nasionalisme yang tinggi.

Demikian juga yang ada pada etnik masyarakat Sabah di Semenanjung Malaysia. Walaupun mereka merantau untuk menimba ilmu tidak kiralah dalam sektor apa-apapun, semangat cintakan kepada warisan tetap tersemai dalam diri.  Hal inilah yang menjadi kekuatan pada ikatan etnik Sabah, yakni warisan bangsa tidak dapat dipisahkan dengan diri mereka walau di mana-mana sahaja mereka berada.

Bencana banjir yang berlaku baru-baru ini menjadi titik permuafakatan Pertubuhan Rumpun Etnik Sabah (PRESBAH) untuk berkumpul dan bertemu semula dengan seluruh ahli, ahli bersekutu serta yang masih belum menjadi ahli, agar melalui pertemuan yang diadakan ini, masyarakat Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia akan lebih mengenali pertubuhan bukan kerajaan ini dan amat dialu-alukan penyertaan mereka menyertai pertubuhan ini.

YBrs. Tuan Haji Yahya Haji Ahmad, Presiden PRESBAH.

Bertarikh 25 Disember 2021 yang lalu di Restoran Gegawai Prima Saujana, Kajang, Selangor telah diadakan majlis pelancaran PRESBAH Zon Semenanjung yang dirasmikan oleh YBrs. Tuan Haji Yahya Haji Ahmad, Presiden PRESBAH.

Rakyat Sabah yang tinggal di Semenanjung Malaysia perlu memainkan peranan dalam membantu kerajaan untuk mengekalkan keharmonian kaum dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Beliau juga amat yakin pergaulan di tempat kerja serta pertukaran budaya dan cara hidup memudahkan semangat perpaduan kaum mudah diterapkan. Melalui perkahwinan juga membolehkan keluarga antara satu sama lain memahami dan berkongsi adat resam masing-masing, kemudiannya diterapkan dalam kalangan rakyat.

Saya mengharapkan agar rakyat Sabah dapat bersama-sama membantu merealisasikan usaha kerajaan untuk mengekalkan integrasi nasional.

Tegasnya lagi, PRESBAH akan terus bergerak seiring dengan kerajaan memantapkan semangat kekitaan dalam rakyat pelbagai kaum dan etnik. PRESBAH akan terus bergerak aktif mendaftar lebih ramai ahli, termasuklah rakyat Semenanjung sebagai ahli bersekutu PRESBAH untuk sama-sama menjayakan program-program yang dirancang.

Menerusi ucapannya, Presiden PRESBAH turut menggesa kerajaan lebih cekap dan pintar dalam menangani segala keluhan rakyat di peringkat bawahan dengan meminimumkan kerenah birokrasi bagi memudahkan rakyat berurusan dalam pelbagai perkara, terutamanya dalam perihal meminta bantuan yang diperlukan khususnya dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi PRESBAH Zon Semenanjung YBhg. Datin Faridah Aynna Mohamad Said. Pada majlis ini, Presiden PRESBAH telah menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang terjejas banjir di Selangor. Agihan bantuan banjir di Kampung Batu Gajah, Sungai Buloh, selesai disempurnakan pada 27 Disember 2021 yang diketuai sendiri Pengerusi PRESBAH Zon Semenanjung dan turut sama ialah artis veteran legenda Sabah, K. Hassan dan ahli PRESBAH seramai lima orang.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.