Oleh Asriezam Uda
29 Disember 2021, 20:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fenomena banjir bukanlah hal yang asing di negara ini. Fenomena monsun atau musim tengkujuh pada setiap hujung tahun yang menyaksikan curahan hujan yang luar biasa sering membasahi bumi Malaysia. Keadaan di luar kawalan ini tentunya menggugat kesejahteraan masyarakat, lebih-lebih lagi bagi golongan yang tinggal berhampiran dengan sungai. Segala-galanya hilang sekelip mata, iaitu rumah kediaman, wang ringgit, kenderaan, bahkan musibah ini turut meragut nyawa manusia dan haiwan.

Jika diimbas kembali, sejarah telah pun menceritakan segala-galanya tentang fenomena banjir di negara ini. Musibah banjir ini telah pun berlaku sejak tahun 1886, 1923, 1926, 1971, 2014 dan kini 2021. Dalam tahun-tahun yang dinyatakan tersebut, hampir kesemua negeri di Semenanjung Malaysia telah pun merasai pengalaman berdepan dengan ujian alam ini. Misalnya, banjir yang berlaku pada 2014 “menelan” mangsa yang lebih ramai, melibatkan negeri Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu. Penangan bencana alam itu hampir meranapkan kesemua negeri-negeri ini dengan sepantas kilat.

Usai menelusuri sejarah yang kelihatannya berulang-ulang, apakah tindakan kita? Di Malaysia, kelihatannya persediaan teknologi mengurangkan dampak banjir masih lagi kurang jika hendak dibandingkan dengan negara-negara maju lain. Satu-satunya teknologi banjir yang wajar diberikan pujian ialah terowong Stormwater Management and Road Tunnel (SMART) bernilai RM1.87 juta yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2003. Hasilnya, baru-baru ini projek yang diletakkan di bawah Dasar Pembangunan Nasional ini telah pun berjaya melencongkan hampir 5 juta liter air hujan di sekitar Lembah Klang.

Bayangkan tanpa adanya teknologi ini, tentunya banjir di Lembah Klang pada 2021 ini berkali-kali ganda kesannya. Bayangkan lagi berapa banyakkah nyawa dan harta benda yang bakal terkorban? Maka itu, aspek inilah yang perlu diutamakan kerajaan dalam mengurangkan dampak “amukkan” alam, sekali gus meningkatkan kesejahteraan masyarakat. Berdasarkan situasi yang berlaku, ternyata keupayaan terowong SMART sahaja tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu banjir di Lembah Klang. Pemerkasaan dalam usaha menambah lagi pembinaan teknologi banjir perlu menjadi agenda utama negara menjelang tahun 2030.

Mengambil contoh Singapura, meskipun berada pada saiz yang kecil, negara jiran tersebut kini telah mempunyai lebih daripada satu teknologi pencegah banjir,iaitu Syed Alwi Detention Tank(Siap 2025), Stamford Detention Tank (beroperasi sejak 2018), dan Opera State Pumping Station (beroperasi sejak 2001). Sejak 2012, kerajaan Singapura telah membelanjakan kira-kira $SGD1.2 bilion untuk teknologi banjir dan turut memberi peruntukan tambahan sebanyak $SGD500 juta untuk tujuan itu. Hal ini menunjukkan Singapura benar-benar serius dalam mendepani cabaran perubahan iklim yang sebaik-baiknya turut perlu dilaksanakan oleh Malaysia.

Berbanding dengan Malaysia, misalnya kawasan di sekitar Lembah Klang, kelihatannya kawasan seluas ini perlu dibangunkan lagi dengan beberapa buah teknologi pembasmi banjir tambahan sebagaimana yang dilakukan oleh Singapura ataupun kita boleh mengadaptasi sistem pembasmi banjir tersohor Jepun, iaitu Metropolitan Area Outer Underground Discharge Channel. Dengan teknologi pembasmi banjir tambahan yang berkuasa tinggi, setidak-tidaknya risiko banjir di kawasan yang terdedah dapat diminimumkan sehabis mungkin.

Begitu juga pada peringkat negeri, agenda pembinaan teknologi banjir ini mestilah menjadi keutamaan. Negeri Perak antara negeri yang telah menampakkan tindakannya dalam mendepani hal ini. Pada ketika ini, terowong bawah tanah banjir sedang dibina di bandar Ipoh yang membolehkan kesemua air pembetungan dipamkan keluar melalui terowong bawah tanah dan dilepaskan di sebuah loji yang terletak di kawasan Papan. Teknologi tersebut yang seakan-akan menyerupai model teknologi banjir Jepun ini berpotensi tinggi bagi mengelakkan Ipoh ditenggelami banjir. Tindakan proaktif sebeginilah yang perlu diambil oleh pihak kerajaan yang tidak lain dan tidak bukan demi melindungi kesejahteraan masyarakat.

Penulis, Calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perubahan Sosial dan Impak, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.