Oleh Hamidah Zabidi
30 Disember 2021, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Berikutan dengan pandemik COVID-19, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang berhadapan dengan kenaikan harga barangan. Keadaan ini melanda hampir di seluruh negara di dunia.

Kelemahan mata wang dan kebergantungan terhadap barangan import sama ada barangan mentah dan makanan menambahkan lagi kesan inflasi dan kenaikan harga barangan. Maka itu, berbicara tentang isu harga barangan yang mahal, ada sesuatu yang menarik untuk diberikan perhatian, iaitu harga tembikai yubari (yubari melon). Hatta, jika dibandingkan dengan harga sekilogram musang king sekalipun, harga buah ini ibarat langit dengan bumi.

Untuk makluman, hingga Julai lalu, musang king untuk gred AAA (eksport) dijual pada harga RM60 sekilogram. Harga runcit bagi gred A (RM52), gred B (RM32) dan gred C (RM18). Persoalannya berapakah harga tembikai yubari? Tembikai ini berharga AS$200 atau RM840 sebiji. Yubari merupakan tembikai terbaik Jepun yang juga dikenali sebagai Hokkaido melon. Namun begitu, harga tersebut masih rendah jika dibandingkan dengan rekod yang pernah dicatatkan pada Mei 2019. Dua biji tembikai dari Hokkaido ini dijual dengan harga 5 juta yen atau bersamaan dengan AS$45 000 (RM189 220), atau RM94 610 bagi sebiji tembikai yubari yang menjadikannya buah termahal di dunia!

Apakah yang menyebabkan buah ini sangat mahal? Sejak beberapa tahun belakangan ini, keenakan buah Jepun telah menarik perhatian banyak negara luar. Antara buah-buahan yang dicari termasuklah tembikai yang dilabelkan sebagai buah berkelas tinggi. Terdapat pelbagai jenis tembikai yang ditanam di seluruh Jepun dan harganya berkisar daripada harga yang murah untuk kegunaan harian kepada yang mewah untuk dijadikan sebagai hadiah. Tembikai yubari merupakan satu daripada jenis tembikai yang paling terkenal. Jika berkunjung ke kedai buah-buahan mewah di Tokyo, anda mungkin dapat melihat pelekat jenamanya yang cukup popular.

Tembikai yubari terhasil daripada kacukan dua jenis tembikai, iaitu earl’s favorite dan burpee. Nama yubari mengambil nama bersempena dengan tempat asal buah ini, iaitu bandar Yubari, Pulau Hokkaido. Masyarakat Jepun percaya bahawa tembikai yubari mempunyai rasa yang sedap, aroma yang unik , bentuk yang menarik dan kulit yang cantik seperti pasu porselin purba yang sangat berharga. Maka itu, tembikai yubari sentiasa menjadi hadiah yang terhebat di Jepun.

Selain proses penanaman yang sukar, bekalannya juga amat terhad. Tembikai yubari juga dihargai kerana bentuknya yang bulat dan sempurna, kulitnya yang nipis, serta licin. Di Jepun, penanaman tembikai ini menjadi perniagaan yang amat serius. Tidak seperti tembikai biasa yang berharga sekitar AS$5 (RM21) yang boleh dibeli di pasar raya, tembikai yubari memerlukan penjagaan yang berterusan dan perhatian yang secukupnya untuk membesar. Proses penanamannya dibuat di dalam rumah hijau, memakan masa untuk ditanam dan dijaga, serta penggunaan buruh manual yang mahal.

Pada setiap tembikai yubari mengambil masa 100 hari untuk tumbuh dan buahnya ditanam sepanjang tahun. Terdapat 20 jenis benih tembikai yubari yang sedikit berbeza dan banyak bergantung pada musim tanaman. Batas tanaman yang ditinggikan membolehkan petani mengawal jumlah air yang diperlukan oleh pokok.  Penyaman udara dan pemanasan juga akan menentukan kualiti buah yang dihasilkan.

Tembikai yubari mempunyai empat gred, iaitu fuji, yama, shiro dan yuki. Mana-mana tembikai yang mempunyai kecacatan walaupun kecil akan ditandai sebagai yuki, dan tiga gred teratas digredkan berdasarkan kandungan gula dan penampilan buah yang sempurna. Sebanyak 55 peratus daripada tembikai yubari menghasilkan gred shiro; gred ketiga, iaitu sebanyak 25 peratus ialah jenis yama; dan sebanyak 0.1 peratus, atau satu daripada 1000 daripada semua tembikai yang dituai, dilabelkan sebagai fuji, iaitu gred yang tertinggi. Selepas kira-kira 50 hari ditanam, pokok tembikai yubari biasanya akan mula berbunga dan berputik.

Semua kerja ini dilakukan sepenuhnya secara manual dengan tujuan untuk mendapatkan kesempurnaan buah. Apabila saiz buah semakin membesar, buah akan dibungkus dengan teliti dengan kertas putih untuk melindunginya. Setiap buah akan digilap dan diurut dengan tangan. Selepas proses mengurut selesai, buah akan ditutup untuk melindunginya daripada matahari bagi tempoh pertumbuhan terakhir. Petani akan memakai beberapa jenis sarung tangan putih untuk menggilap buah. Bagi mengekalkan harganya, pegawai pertanian tempatan akan bertindak dengan menyelia pengedaran dan memeriksa kualiti buah.

Mereka akan memastikan kualiti buah sentiasa dijaga agar harga tidak dikurangkan. Hasilnya, rasa buah yang tuai tidak dapat dinafikan amat luar biasa. Setiap buah mempunyai keseimbangan rasa yang kompleks dan sangat berair serta manis.  Maka itu, meskipun kosnya tinggi, pasaran terhadap buah ini terus melebar  di seluruh Jepun. Pelanggan  sanggup membayar untuk memastikan hadiah mereka sempurna, tambahan pula setelah mengetahui kerja yang dilakukan untuk menghasilkan tembikai termahal ini.

Selain masa dan tenaga yang dilaburkan, tembikai yubari mesti ditanam di bandar Yubari. Tambahan pula, musim tembikai ini ditanam sangat terhad – buah hanya masak pada akhir Mei hingga awal Ogos setiap tahun. Bilangan ladang yang digunakan untuk menanam tembikai yubari juga terhad. Hal ini dikatakan demikian  kerana selepas satu musim berlalu, ladang tidak boleh digunakan untuk tanaman yang lain hingga tempoh setahun.

Selain itu, buah ini tidak boleh disimpan lama dan mesti dimakan dengan cepat selepas dipetik. Hal ini menjadikannya sukar untuk diangkut keluar dari Hokkaido, apatah lagi ke peringkat antarabangsa. Oleh itu, sekiranya anda ingin mencuba sendiri tembikai yubari, cara termudah dan termurah adalah dengan berkunjung ke Yubari pada Mei hingga Ogos pada setiap tahun.

Harga yang Tertinggi

Dua biji tembikai yubari yang paling mahal pernah dijual dengan harga 5 juta yen atau $45 000 (RM189 220), kepada syarikat Tokyo Pokka Sapporo Food & Beverage Ltd. pada tahun 2019. Buah yang dilelong bukanlah sembarangan tembikai yubari, tetapi merupakan buah daripada tuaian pertama – sering dianggap sebagai buah yang paling manis dan paling lazat.

Walau bagaimanapun, disebabkan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi, harga lelongan bagi tembikai ini turun pada tahun 2020, iaitu hanya berharga 120 ribu yen (AS$1 100 atau RM4625). Namun begitu, harga tersebut tidak kekal, kini harga tembikai yubari  kembali mencanak.  Pada tahun 2021, dua biji tembikai Yubari dijual pada harga 2.7 juta yen atau RM100 421. Persoalannya, siapakah yang sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk sebiji tembikai? Selalunya, bukan orang perseorangan yang akan membeli tembikai yang mahal ini, tetapi syarikat besar dan ternama untuk dijadikan hadiah yang paling sempurna – dibungkus di dalam kotak mewah, diletakkan di atas kain sutera atau jerami dan dihias dengan reben.

Cara Makan Tembikai Yubari

Tembikai yubari mempunyai rasa yang halus, manis seperti seperti madu dengan tekstur yang lembut dan berair – menepati campuran pelbagai buah-buahan seperti strawberi, pic, tembikai dan vanila.

Tembikai yubari yang masak mempunyai rasa manis dan berair yang enak. Petani Jepun mendakwa bahawa rasa utama tembikai ini berasal dari abu gunung berapi yang terkandung di dalam tanah. Di Jepun, tembikai yubari dimakan dengan berhati-hati. Anda mesti menyejukkannya selama beberapa jam. Selepas tangkainya dibuang, tembikai tersebut dibelah dua dan bijinya dikeluarkan. Dengan menggunakan sudu, isinya dikeluarkan secara perlahan-lahan.  Anda juga boleh menghiris tembikai secara menegak sebelum memotongnya  menjadi beberapa kepingan, namun kulitnya tidak dibuang.

Tembikai yubari mungkin yang paling mahal di dunia, tetapi adakah tembikai ini juga tembikai yang terbaik di dunia? Satu hidangan tembikai yubari menyediakan 100 peratus keperluan harian untuk vitamin A, vitamin C (95 peratus), Kalsium (1 peratus), Zat Besi (2 peratus) dan Vitamin K (5 peratus). Tembikai yubari king pula mengandungi vitamin B3 (niasin), B6 (pyridoxine), B9 (asid folik) dan C yang menguatkan sistem imun badan. Tembikai yubari king kaya dengan vitamin, mineral dan nutrien, serta sangat kaya dengan vitamin C yang mampu mencegah penyakit dan menguatkan sistem imun. Vitamin C juga menyokong penghasilan kolagen, iaitu protein utama yang diperlukan untuk pembaikan kulit. Maka itu, pakar pemakanan mengesyorkan agar orang dewasa mengambil tidak lebih daripada 300 gram hingga 500 gram tembikai pada setiap hari.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.