30 Disember 2021, 16:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Belum pun selesai isu varian-varian COVID-19 sebelumnya itu terhapus, kini muncul pula varian baharu yang dikenali sebagai Omicron yang dilabelkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebagai “varian yang perlu diberikan perhatian”. Varian ini dikatakan lebih kental dalam menurunkan tahap kekebalan sistem imunisasi manusia. Setakat 25 Disember 2021, kumulatif kes yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, ialah 62 kes.

Persoalannya, adakah perkembangan ini memberi implikasi kepada sektor pendidikan negara? Sebelum ini, institusi pendidikan telah  melalui “episod muram” yang panjang. Sejak penularan COVID-19, institusi pendidikan kerap melalui proses buka dan tutup secara berulang-ulang. Manakala kelangsungan proses keilmuan para pelajar pula diteruskan melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dengan keadaan yang hampir tidak sempurna. Hal ini disebabkan kaedah ini bukanlah satu proses yang mudah dilaksanakan, terutamanya melibatkan cabaran-cabaran yang perlu ditempuhi oleh para guru, ibu-bapa dan para pelajar.

Kekangan utama tentunya melibatkan komitmen ibu bapa. Proses PdPR yang memerlukan pengawasan berterusan para ibu bapa sukar untuk direalisasikan sepenuhnya, terutamanya bagi mereka yang bekerja sepenuh masa. Barangkali, bagi anak-anak yang berumur 10 tahun ke atas mungkin mampu menguruskan proses PdPR ini secara kendiri, namun bagi kanak-kanak yang berusia lima hingga sembilan tahun, keadaan ini mungkin bukan suatu hal yang mudah. Sebagai contoh, seseorang murid yang ingin menyertai kelas melalui aplikasi Microsoft Team, perlu melalui proses yang agak rumit dan pasti memerlukan bimbingan orang dewasa. Hal ini tidak termasuk soal kelemahan ibu bapa tentang selok-belok teknologi. Ditambah pula bagi golongan yang tinggal di kawasan pendalaman, dugaan yang dilalui sememangnya berlipat kali ganda.

Pada peringkat global, baru-baru ini Perdana Menteri Sementara Belanda, Mark Rutter telah pun melaksanakan langkah berjaga-jaga bagi menghadapi varian Omicron dalam sektor pendidikan. Sebagai langkah berjaga-jaga, sekolah-sekolah di Belanda ditutup seminggu lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya. Manakala, kes COVID-19 di India, iaitu di wilayah Delhi, Gujarat dan Mumbai telah meningkat secara mendadak menyebabkan kerajaannya terpaksa menutup sekolah sekali lagi demi mengekang penularannya. Namun begitu, langkah seperti ini bukanlah kaedah penyelesaian secara tuntas.

Melihat kecondongan sebegini pada peringkat global,  adakah institusi persekolahan di negara kita juga bakal ditutup? Memetik kata-kata Pegawai Eksekutif United Nation Children’s Fund (UNICEF) “nationwide school closures should be avoided whenever possible”  yang bermaksud, penutupan sekolah mestilah menjadi pilihan akhir jika benar-benar ketiadaan alternatif lainnya. Komentar ini mempunyai asasnya dengan melihat risiko-risiko penutupan sekolah yang mampu melahirkan lost generation (pelajar ketinggalan).

Menerusi PdPR, tidak semua pelajar dapat menyertainya. Bahkan,untuk para guru supaya dapat memastikan kehadiran semua pelajar juga adalah mustahil. Hal ini tidak lagi termasuk kesukaran kawalan para guru terhadap pelajar, lebih-lebih lagi apabila terdapat pelajar yang tidak membuka kamera ketika menghadiri kelas secara dalam talian. Guru-guru tidak mampu memastikan apa-apa yang sedang berlaku di sebalik skrin komputer tersebut. Kesannya tentulah besar, terutamanya tentang tahap penyerapan ilmu para pelajar yang tidak dapat dipastikan.

Kerajaan dikatakan bakal memulakan pemberian vaksin kepada kanak-kanak di bawah 12 tahun, tetapi pelaksanaannya dijangka terlaksana pada tahun 2022 melalui pemberian vaksin keluaran Pfizer BioNTech. Di United Kingdom (UK), beratus-ratus ribu orang kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang terdedah secara klinikal telah pun ditawarkan vaksin buat kali pertama dan beberapa orang saintis turut menyarankan agar program itu diperluaskan sebelum penggal persekolahan baharu di UK.

Oleh sebab itu, tiada lagi kaedah yang benar-benar efektif selain daripada menyegerakan proses vaksinasi kanak-kanak di bawah 12 tahun. Inilah satu-satunya jalan dalam usaha mengelakkan sekolah kembali ditutup. Sepertimana negara-negara yang lain, kerajaan seharusnya mengutamakan agenda ini sebagai satu daripada inisiatif untuk memperkasakan institusi pendidikan. Hal ini bertujuan mengekang kewujudan “pelajar-pelajar ketinggalan” yang bakal menjejaskan modal insan negara pada masa depan.

Penulis, Calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.