1 Januari 2022, 20:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Berhubung dengan pembukaan sekolah bagi Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM adalah melibatkan institusi pendidikan di seluruh negara, termasuklah di Kelantan dan Sarawak yang akan beralih kepada fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 3 Januari 2022.

Bagi negeri Kelantan, pengoperasian pembukaan institusi pendidikan di bawah KPM akan bermula pada 9 Januari 2022, manakala di negeri Sarawak pada 10 Januari 2022, mengikut ketetapan fasa di bawah PPN.

Kepatuhan penjagaan prosedur operasi standard (SOP) diutamakan bagi memastikan keselamatan pascapandemik COVID-19.

Jelas KPM, pengoperasian dan kehadiran murid adalah berdasarkan ketetapan yang diumumkan melalui kenyataan media KPM yang bertarikh 31 Disember 2021, dengan mengambil kira kesediaan institusi pendidikan di Kelantan dan Sarawak untuk memulakan pengoperasian mengikut tarikh pembukaan sekolah tersebut.

Bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal, KPM akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang terjejas akibat bencana banjir atau dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Maklumat lanjut mengenai pengoperasian institusi terlibat akan dimaklumkan pada 3 Januari 2022, setelah mengambil kira kesediaan untuk beroperasi.

Pada masa yang sama, KPM turut memberikan saranan agar ketetapan ini diguna pakai pada semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuklah institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!