4 Januari 2022, 15:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan sambutan Hari Braille Sedunia 2022, Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) mengambil inisiatif melakukan pelbagai program dan aktiviti seperti pameran pelbagai bentuk untuk menunjukkan peri pentingnya penggunaan braille dalam kehidupan seharian orang buta.

Dalam ucapan perasmian bersempena dengan sambutan tersebut, YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia mengatakan bahawa tulisan braille amat penting kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan kerana melalui tulisan tersebut mereka dapat mengakses bahan bacaan dengan lebih baik. Ujar YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani dengan hasrat penekanan pendidikan diberikan seawal usia di sekolah:

YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

Hal ini merupakan elemen penting dalam pemerkasaan dan kejayaan mereka. Penggunaan braille berupaya membantu mereka untuk keluar daripada kepompong tidak boleh membaca, apatah lagi untuk berjaya menjadi masyarakat yang profesional.

Encik George Thomas, Ketua Pegawai Eksekutif MAB.

 

Menurut Encik George Thomas, Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Hari Braille Sedunia disambut pada 4 Januari setiap tahun adalah untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat akan kepentingan braille sebagai medium komunikasi dalam pengiktirafan hak asasi manusia kepada OKU penglihatan.

Braille, dinamakan sempena penciptanya pada abad ke-19 Perancis, iaitu Louis Braille. Braille digunakan oleh orang buta dan OKU penglihatan untuk membantu mereka dalam urusan seharian.

“Statistik sedunia menunjukkan 1 daripada 10 orang boleh membaca braille. Kami berharap agar bilangan ini terus bertambah dengan hadirnya sistem pendidikan khas dan sistem pendidikan di Malaysia,” kata Encik George Thomas.

Pada tahun 1829, Louis Braille telah mengubah suai sistem kod 12 digit tersebut kepada 6 digit sahaja agar pergerakan tangan dan pemahaman yang lebih baik terhadap OKU penglihatan.

Pengubahsuaian 6 digit ini menjadi penting dari segi sejarah apabila Braille meletakkan asas ini untuk orang cacat penglihatan dan perkara tersebut kekal sehingga ke hari ini.

YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif MAB dan tetamu yang hadir melihat penerbitan buku braille berkaitan dengan sejarahnya di Malaysia.
Pelbagai bentuk dan penggunaan braille dipamerkan sewaktu majlis sambutan Hari Braille Sedunia di Dewan Ismail Md. Salleh, Kompleks MAB.

Sehubungan dengan itu, YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani turut mengatakan bahawa KPM komited memberikan pendidikan kepada seramai 2617 orang Murid Berkeperluan Khas (MBK) Penglihatan yang berdaftar di sekolah dari peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan selepas peringkat sekolah menengah. Guru yang mengajar MBK penglihatan perlu mempunyai kemahiran dari segi penggunaan braille, termasuklah membaca dan menterjemahkan tulisan braille.

Murid tahun 3 (tengah) OKU penglihatan yang menampilkan bakat dalam permainan piano dalam majlis tersebut disantuni oleh YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani.

Mengulas lebih lanjut, KPM turut menghasilkan buku teks pendidikan khas braille bagi mengoptimumkan potensi MBK dan proses pengajaran dan pembelajaran. Pada masa yang sama, KPM turut membekalkan mesin braille untuk penggunaan MBK kurang upaya penglihatan dalam apa-apa jua situasi, termasuklah situasi pandemik COVID-19.

Mengakhiri majlis pada pagi ini, YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani mengucapkan syabas kepada semua pihak, khususnya MAB yang meneruskan inisiatif murni ini.

“Tanpa usaha yang ikhlas, dedikasi dan keringat yang telah anda curahkan kejayaan hari ini, dan seterusnya tentu sekali sukar untuk kita peroleh,” kata beliau.

Turut serta dalam program ini ialah YBhg. Datin Fauziah Mohd Ramly, Naib Presiden MAB, Puan Hajah Salmah Jopri, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas KPM dan tetamu kehormat yang lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.