5 Januari 2022, 12:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru rakyat agar mempertingkatkan lagi potensi dan kekuatan diri dalam mendepani pelbagai cabaran pada masa akan datang berbanding dengan tahun 2021, seiring dengan peralihan ke arah digitalisasi.

Digitalisasi menjadi satu ruang untuk masyarakat terus berhubung walaupun menghadapi bencana, seperti pandemik dan banjir selain daripada memberi peluang kepada mereka yang terjejas untuk mendapatkan pendapatan melalui platform digitalisasi.

Baginda turut bertitah bahawa masyarakat kini juga didapati sudah pun dan semakin berani menggunakan pendekatan dalam talian sebagai medium untuk mencari rezeki dan memudahkan segala urusan dalam kebiasaan baharu ini.

Tuanku Raja Muda menzahirkan rasa bangga apabila teknologi sistem komunikasi digital negara semakin meluas digunakan dan sekali gus dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan digital dalam kalangan rakyat.

Tuanku Raja Muda Perlis menyantuni penerima sumbangan agihan zakat MAIPs di Padang Katong, Kangar.

Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis selepas berkenan berangkat menyantuni golongan asnaf, yakni seorang penerima “Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs” di Padang Katong, Kangar. Ahmad Hamid, 71 tahun yang tinggal bersama-sama keluarganya disantuni oleh Tuanku Raja Muda dalam penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs.

Turut hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd. Nazim Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.