7 Januari 2022, 17:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Murid yang kehilangan buku teks atau rosak akibat banjir tidak perlu membayar ganti rugi atas kerosakan tersebut mahupun menggantikan buku berkenaan.

YB Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sedar dalam tempoh banjir besar yang berlaku, ramai murid yang terjejas akibat banjir dan kementerian menerima banyak pertanyaan berkaitan dengan buku teks murid yang rosak akibat bencana alam.

“Untuk makluman semua, berdasarkan rekod yang ada pada KPM sehingga ke hari ini, sebanyak 263 662 naskhah buku teks telah rosak akibat banjir dengan melibatkan 14 422 orang murid di seluruh negara.

“Berdasarkan rekod ini, KPM mempunyai stok yang mencukupi untuk menggantikan buku-buku yang rosak bagi membolehkan murid-murid mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran pada minggu depan,” jelas beliau menerusi perkongsian di laman sosial miliknya pada hari ini.

Tambah beliau, guru-guru akan merekodkan jumlah buku teks yang rosak akibat banjir dan KPM akan memastikan usaha untuk menggantikan buku teks dapat dilaksanakan segera bagi membolehkan sesi persekolahan pada minggu hadapan dapat berjalan dengan teratur dan lancar.

“Insya-Allah, kita doakan semoga semua anak-anak kita yang terjejas akibat banjir dapat mengharungi tempoh yang sukar ini serta dapat kembali ke sekolah apabila sekolah dibuka kelak,” jelas beliau.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.