9 Januari 2022, 20:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Segamat – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Persatuan Sukan dan Kebudayaan KPM (MESCA) menggerakkan misi kesukarelawan di dua buah sekolah di Segamat yang terkesan ekoran banjir yang melanda daerah itu baru-baru ini.

Kekuatan pasukan seramai 64 orang yang turut melibatkan pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Segamat ini membantu membersihkan Sekolah Kebangsaan Kuala Paya dan Sekolah Kebangsaan Pogoh. Bantuan tersebut bertujuan untuk membantu meringankan tugas guru bersempena dengan sesi persekolahan penggal ketiga yang bermula pada hari ini bagi Kategori B.

YB Datuk Mohamad Haji Alamin, Timbalan Menteri Pendidikan II.

Rentetan daripada itu, misi ini mendapat perhatian daripada Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Datuk Mohamad Haji Alamin. Beliau yang turut turun padang meninjau proses pembersihan ini berkata, usaha yang dilakukan oleh sukarelawan MESCA ini adalah sebagai tanda kebersamaan dan semangat kekitaan demi memastikan pendidikan dapat diteruskan walaupun mengalami musibah banjir.

“Meskipun sekolah di Johor ini terjejas ekoran banjir, namun pengoperasian pembukaan sekolah tetap bermula seperti biasa, iaitu pada Ahad hadapan,” kata beliau dalam menjelaskan pelanjutan pembukaan sekolah kerana memberikan ruang untuk kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Kerja-kerja pembersihan daripada pasukan sukarelawan dilakukan bagi persediaan pembukaan sekolah.
Bilik darjah selepas dibersihkan akibat banjir.

Turut hadir bersama-sama dalam usaha tersebut ialah Timbalan Menteri II, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, iaitu YB Tuan Haji Mazlan Bujang. Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan sukarelawan yang bukan sahaja membantu kerja-kerja pembersihan di kedua-dua buah sekolah ini, malah di sekitar Johor.

YB Tuan Haji Mazlan Bujang, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor.

Penghargaan dan junjungan kasih turut dizahirkan kepada Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas perkenan menghulurkan bantuan kepada keluarga yang terkesan akibat banjir. Jelas beliau lagi, keprihatinan baginda dalam hal ini menunjukkan rakyat sentiasa menjadi keutamaan di hati Tuanku.

Ucapan tahniah dan keterujaan semangat setiakawan antara “sahabat” yang jauh di mata, tetapi dekat di hati” turut dinyatakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid.

YBhg. Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.

Ujar beliau, melalui semangat kesukarelawan ini, kita dapat mengeratkan hubungan dan semangat Keluarga Malaysia seperti yang dianjurkan oleh Perdana Menteri Malaysia. Oleh itu, pelibatan berterusan daripada keluarga KPM dalam program seperti ini perlu dipergiat dengan lebih aktif.

Beliau turut berpesan kepada murid-murid yang terkesan dengan bencana banjir ini agar tidak patah semangat untuk hadir ke sekolah. Hal ini demikian kerana proses mendapatkan pendidikan perlu diteruskan walaupun sedang diuji dengan pelbagai musibah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.