9 Januari 2022, 14:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Sesi persekolahan pada hari pertama, penggal ketiga 2021/2022 Kumpulan A di empat buah negeri di Kelantan, Kedah, Terengganu dan Johor yang melibatkan 1.18 juta murid dan pelajar berjalan lancar dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi dengan baik.

YB Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, Menteri Kanan Pendidikan berkata, tinjauan di beberapa buah sekolah di Kota Bharu mendapati murid dan pelajar teruja hadir ke sekolah setelah sekian lama tidak melalui proses pembelajaran secara bersemuka.

“Pendekatan penggiliran ke sekolah secara bersemuka oleh KPM merupakan tindakan progresif dan cermat sebelum membuat sesuatu keputusan,” jelas YB Datuk Dr. Mohd Radzi Md. Jidin.

(Sumber foto: Mohd Azam Juhari)

Beliau menjelaskan tempoh pelaksanaan penggiliran itu bergantung pada keadaan semasa COVID-19. KPM seboleh-bolehnya tidak mahu penggiliran dibuat, namun tindakan ini terpaksa dilakukan setelah mengambil kira semua keadaan termasuklah penularan COVID-19 dan varian baharu, Omicron.

YB Menteri Kanan Pendidikan turut menjelaskan bahawa ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anak hadir ke sekolah perlu memaklumkannya kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi memudahkan pihak berkenaan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid.

Beliau turut mengumumkan bahawa KPM juga bersetuju melanjutkan pengecualian sewaan kantin untuk tempoh enam bulan bermula pada Januari hingga Jun 2022.

Pada Julai 2021, KPM telah memberikan pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang bagi tempoh enam bulan hingga akhir 2021 akibat penutupan sekolah.

“Kami menerima banyak permohonan daripada pengusaha kantin yang meminta supaya diberi sekali lagi pengecualian sewaan kantin. Oleh itu, KPM membuat keputusan  untuk memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan termasuk premis-premis yang berada di dalam sekolah,” jelas beliau yang turut menjelaskan pengecualian sewaan juga diberikan untuk tempoh yang sama bagi sewaan premis, kedai buku, koperasi, kedai dobi dan mesin minuman air di sekolah bawah kelolaan KPM.

Pada masa yang sama, KPM akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melaksanakan proses vaksinasi kepada murid agar sesi persekolahan dapat dilaksanakan dengan cepat, berkesan, teratur dan selamat. Beliau berkata demikian dalam satu sidang media setelah mengadakan lawatan di sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Kota Bharu bersempena dengan pengoperasian hari pertama persekolahan pada hari ini. Sebelum itu, beliau turut mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1 dan SK Zainab 2 di Kota Bharu, Kelantan.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.