Oleh Aisyah A.
10 Januari 2022, 17:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Bilangan penganggur berkurang bawah daripada 700 ribu orang, sejak April 2020.

Putrajaya – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bilangan penganggur berkurang bawah daripada 700 ribu orang, iaitu paling rendah sejak April 2020 dengan penurunan sebanyak 1.5 peratus dari bulan ke bulan kepada 694.4 ribu orang berbanding dengan Oktober 2021, 705.0 ribu orang.

Statistik ini menunjukkan kedudukan tenaga buruh negara kekal stabil pada November 2021 hasil dari usaha kerajaan seperti Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan program vaksinasi, serta pembukaan semula aktiviti ekonomi yang menggalakkan aktiviti merentasi negara. Permintaan buruh juga didapati meningkat, termasuklah sektor berkaitan dengan pelancongan seperti aktiviti penginapan, kesenian, hiburan dan rekreasi.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin mengatakan bahawa bilangan penduduk bekerja pada November 2021 terus meningkat selama empat bulan berturut-turut dengan peningkatan 0.4 peratus dari bulan ke bulan mencatatkan 15.61 juta orang berbanding dengan Oktober 2021, 15.55 juta orang. Nisbah guna tenaga kepada penduduk menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga meningkat sebanyak 0.2 mata peratus kepada 66.0 peratus pada November 2021 (Oktober 2021: 65.8%).

Walau bagaimanapun, kadar pengangguran pada November 2021 kekal sama (4.3 peratus) kerana jumlah golongan tidak aktif mula mencari pekerjaan semakin meningkat yang ditunjukkan oleh penurunan 0.3 peratus luar tenaga buruh kepada 7.34 juta orang pada bulan tersebut (Oktober 2021: 7.36 juta orang).

Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh pada November 2021 menunjukkan peningkatan kepada 68.9 peratus (Oktober 2021: 68.8%) dengan bilangan tenaga buruh bertambah sebanyak 0.3 peratus kepada 16.30 juta orang berbanding dengan bulan sebelumnya seramai 16.26 juta orang.

Pembukaan semula aktiviti perniagaan yang berterusan pada November 2021 menunjukkan pertumbuhan positif dalam kategori pekerja merekodkan 12.0 juta orang (Oktober 2021: 11.97 juta orang) serta kategori penduduk bekerja sendiri, 2.63 juta orang (Oktober 2021: 2.61 juta orang) yang sebahagian besarnya terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja sebagai pengusaha perniagaan kecil seperti peruncit, penjaja, penjual di pasar dan gerai, serta pekebun kecil.

Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin juga mengulas berkenaan situasi pengangguran pada November 2021 dengan menyatakan bahawa 83.8 peratus dari jumlah penganggur adalah penganggur aktif yang mana telah menunjukkan penurunan sebanyak 1.3 peratus kepada 581.8 ribu orang (Oktober 2021: 589.5 ribu orang).

Selain itu, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun menurun sebanyak 0.2 mata peratus kepada 13.7 peratus manakala kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun mencatatkan peningkatan marginal iaitu sebanyak 0.1 mata peratus bulan ke bulan kepada 8.2 peratus (Oktober 2021: 8.1%).

Secara keseluruhannya, beliau berkata, “Kedudukan tenaga buruh Malaysia meningkat secara beransur-ansur sejak Ogos 2021 berikutan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial telah beroperasi seperti biasa dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ketat. Pengoperasian aktiviti tersebut secara berterusan juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya akan mengukuhkan pasaran buruh pada bulan-bulan yang akan datang. Bencana banjir yang melanda kawasan tengah dan pantai timur negara baru-baru ini dilihat lebih menjejaskan kawasan setempat dan dijangka tidak memberikan impak yang ketara kepada keseluruhan pasaran buruh negara. Selain itu, fasa pemulihan pasaran buruh juga mungkin berdepan dengan cabaran susulan kewujudan varian baharu COVID-19, iaitu Omicron.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.